Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

82) JUMLAH RUMAH PRIHATIN YANG DIBINA

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan jumlah rumah orang miskin yang dibina di bawah Kerajaan Prihatin Selangor sejak 2008 di DUN Selat Klang

    Untuk makluman Yang Berhormat Selat Klang, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin berperanan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Program ini disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dimana jumlah pendapatan seisi rumah adalah dibawah RM3,000.00 sebulan. Bantuan ini diutamakan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai, menduduki rumah yang daif dan tidak selamat untuk diduduki. Di bawah program ini, kelulusan bagi sesebuah rumah adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Program ini merangkumi semua 9 buah daerah di Negeri Selangor dan tidak dipecahkan mengikut kawasan DUN. DUN Selat Klang terletak di bawah daerah Klang. Sehubungan dengan itu, golongan miskin yang telah menerima bantuan rumah bagi daerah Klang di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah seramai 181 orang sejak tahun 2008 sehingga kini. Jumlah penerima bantuan bina baru rumah sebanyak 120 orang dan bantuan baikpulih rumah sebanyak 61 orang. Berikut adalah jadual pecahan jumlah penerima Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin di daerah Klang dari tahun 2008 hingga  2017 :-

    BIL TAHUN BANTUAN YANG DITERIMA JUMLAH
    BINA BARU BAIKPULIH
    1 2008 20 orang 10 orang 30 orang
    2 2009 31 orang 13 orang 44 orang
    3 2010 14 orang 9 orang 23 orang
    4 2011 15 orang 13 orang 28 orang
    5 2012 2 orang 2 orang
    6 2013 29 orang 9 orang 38 orang
    7 2014 1 orang 1 orang 2 orang
    8 2015 8 orang 6 orang 14 orang
    9 2016
    10 2017
    JUMLAH KESELURUHAN 120 orang 61 orang 181 orang

    Bagi tahun 2016, tiada sebarang pembinaan dapat dilaksanakan berikutan had siling semasa yang rendah iaitu RM35,000.00 sahaja bagi membina sebuah rumah di bawah program ini dan tiada kontraktor yang berminat untuk memasuki tender yang ditawarkan oleh Pejabat Daerah. Namun begitu, mulai tahun 2017, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah menaikkan had siling di bawah program ini dari RM35,000.00 kepada RM50,000.00 bagi sebuah unit rumah. Dengan kenaikan ini had siling yang baru, Kerajaan Negeri yakin banyak rumah dapat dibina untuk membantu rakyat miskin untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa bukan sahaja di daerah Klang, bahkan di seluruh Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.