Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

269) JURANG PENDAPATAN ISI RUMAH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah dan inisiatif kerajaan bagi menangani pelebaran jurang pendapatan isi rumah antara kumpulan 20 peratus teratas dengan 40 peratus terbawah?

    Sebagaimana kita semua sedia maklum, sebahagian besar bantuan-bantuan di bawah program anjuran Kerajaan Negeri Selangor adalah disasarkan kepada golongan yang berpendapatan rendah khususnya golongan B40 sama ada di luar bandar mahupun di bandar yang disampaikan melalui Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Program-program di bawah agenda IPR adalah merupakan program jangka panjang yang bersifat holistik dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kewangan semata-mata tetapi memberi daya melalui pemerkasaan kepada penerima manfaat IPR di Selangor.

    Salah satu program IPR yang dapat merancakkan pendapatan golongan B40 ialah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.

    Pada tahun 2018, satu kajian impak bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE). Sejumlah 1171 penerima bantuan telah digunakan sebagai sampel di dalam kajian impak ini. Hasil dapatan mendapati 87% iaitu seramai 1019 daripada 1171 orang penerima bantuan telah Berjaya meningkatkan pendapatan selepas menerima bantuan mesin/peralatan daripada Kerajaan Negeri. Laporan Akhir Kajian Penilaian Impak Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan menunjukkan responden dari kalangan penerima bantuan iaitu 95% bersetuju bahawa bantuan mesin/peralatan yang diterima telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka.

    Selain daripada itu, bermula pada tahun 2020 Jawatankuasa ini merancang untuk melaksanakan program pengupayaan pendapatan melalui penyediaan kursus kemahiran keusahawanan secara berfasa. Kursus tersebut meliputi aspek pengurusan kewangan, kaedah pemasaran secara online, pensijilan, pembungkusan produk, penjenamaan dan lain-lain. Ini bagi memastikan penerima-penerima bantuan bersedia untuk meningkatkan pendapatan diri serta perniagaan ke tahap yang lebih tinggi sekali gus merapatkan jurang pendapatan di antara golongan 20 peratus ke atas dan 40 peratus  terbawah.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.