Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

125) KADAR PREMIUM TANAH YANG TINGGI

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah penilaian yang digunakan oleh JPPH untuk menentukan kadar nilaian sesuatu lot tanah?

    Premium tanah perlu dibayar apabila berlaku permohonan penilaian untuk maksud Tukar Syarat, Pemberimilikan Tanah dan Perlanjutan Tempoh Pajakan.

    Asas nilaian:

    1. Penilaian untuk maksud Tukar Syarat adalah nilai pasaran berasaskan kepada kegunaan tanah yang diluluskan mengikut Peruntukan Kaedah Tanah Negeri Selangor.
    2. Penilaian untuk maksud Pemberimilikan Tanah adalah nilai pasaran berasaskan kepada kegunaan tanah yang dipohon mengikut Peruntukan Kaedah Tanah Negeri Selangor.
    3. Penilaian untuk maksud Perlanjutan Tempoh Pajakan adalah nilai pasaran berasaskan kepada kegunaan tanah yang dipohon mengikut Peruntukan Kaedah Tanah Negeri Selangor.

    Dalam menentukan kadar  nilaian tanah sesuatu lot tanah bagi kes Tukar Syarat,  Pemberimilikan Tanah dan Perlanjutan Tempoh Pajakan,  kaedah penilaian yang digunakan adalah Kaedah Perbandingan atau Kaedah Baki.

    Kaedah Perbandingan:

    Kaedah ini adalah satu proses di mana harta tanah yang dinilai dibandingkan dengan harga tanah serupa yang telah dijualbeli di kawasan berdekatan / kawasan sekitar. Di dalam kaedah ini bukti jualbeli harta tanah serupa dianalisis dan pelarasan hendaklah dibuat untuk menunjukkan perbezaan antara harta tanah yang dinilai dengan perbandingan.

    Pelarasan perbezaan bagi faktor seperti masa, saiz, pegangan hakmilik, topografi tanah, bentuk, jenis, keadaan sekitar, perancangan, densiti pembangunan dan sebagainya hendaklah diambilkira.

    Kaedah  Baki

    Kaedah baki adalah berasaskan konsep bahawa nilai pasaran sesuatu harta tanah adalah bergantung kepada potensi pembangunan harta tanah tersebut. Melalui Kaedah Baki, potensi pembangunan harta tanah tersebut dapat ditunjukkan oleh perbezaan antara nilai pembangunan kasar dan kos pembangunan.

    Kaedah baki biasanya digunakan untuk menilai sesuatu harta tanah yang mempunyai potensi pembangunan atau pembangunan semula berdasrkan kegunaan tanah yang tertinggi dan terbaik (higest and best use). Kaedah ini amat sesuai digunakan untuk menilai harta tanah yang mempunyai pelan tatatur (layout plan) yang telah diluluskan.

Lampiran

Tiada Lampiran.