Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

176) KAJIAN IMPAK PROGRAM BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini kajian impak program Blueprint pembasmian kemiskinan?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan komited dalam menangani masalah kemiskinan di Negeri Selangor. Dalam usaha menangani masalah kemiskinan ini secara berkesan, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah memperkenalkan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Bagi memastikan program ini berupaya memberikan impak bersifat jangka panjang dan ketara dari segi pengurangan kadar kemiskinan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan kini sedang menjalankan Kaji Selidik/Kajian Impak bagi Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang melibatkan penerima bantuan bagi tahun 2008 hingga tahun 2014. Kaji Selidik/Kajian Impak ini dilaksanakan oleh Pejabat Daerah/Tanah dengan kaedah turun padang ke setiap rumah/premis penerima untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan menggunakan borang soal selidik yang telah disediakan. Hasil daripada Kaji Selidik/Kajian Impak Program Blueprint Kemiskinan Bagi Tahun 2008-2014 mendapati bahawa 90% daripada jumlah penerima bantuan telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka. Manakala 1% daripada jumlah penerima bantuan didapati pendapatannya berkurangan dan 9% pula tiada perubahan terhadap pendapatan. (Berdasarkan maklumat 5 daerah)

     

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri sedar satu kaedah pengukuran terhadap kadar kemiskinan perlu diwujudkan serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor yang terkini perlu dikenal pasti. Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum

    serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor seterusnya melantik Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding bermula pada Mac 2015 sehingga Mac 2016. Sehingga kini, pihak perunding sedang menyiapkan draf akhir laporan kajian tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.