Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

142) KAJIAN KADAR KEMISKINAN

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum Serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)?

    Sepertimana kita sedia maklum, berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun 2014. Selain itu, pendapatan isi rumah bulanan purata di Negeri Selangor adalah berjumlah RM8,252.00. Namun begitu, laporan tersebut dilihat tidak menggambarkan kadar kemiskinan yang realistik di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membasmi kemiskinan secara total dan efektif, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian bermula pada Mac 2015 hingga Mac 2016. Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk membuat perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk di Negeri Selangor mengikut daerah dan kaum serta menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor yang terkini.

    Sehingga 16 Oktober 2015, instrumen kajian iaitu soal selidik yang inklusif telah dapat diuji dari segi tahap kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability). Instrumen kajian ini dibina berdasarkan kerangka Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index- MPI) serta 18 item utama yang diambil berdasarkan analisis perbandingan model PGK. Elemen kesahan dan kebolehpercayaan ini adalah signifikan bagi sesebuah kajian berbentuk akademik kerana ia mendasari ukuran keabsahan sesuatu penyelidikan. Oleh yang demikian, pihak UNISEL dan UTAR telah menguji instrumen ini dengan mendapatkan kesahan kandungan (content validity) melalui konsultasi dan laporan dari pakar rujuk serta perolehan nilai croncbach alpha melalui perisian SPSS versi 20 untuk pengesahan kebolehpercayaan.

    Seramai lapan (8) orang pakar rujuk dalam bidang berkaitan dan berpengalaman dalam kajian kemiskinan yang terdiri daripada pelbagai institusi/ organisasi akademik dan bukan akademik telah dirujuk bagi menilai instrumen dan metodologi kajian. Secara umumnya, ulasan dari pakar rujuk menunjukkan bahawa instrumen yang dibina adalah memenuhi objektif kajian.

    Instrumen yang telah dibina ini kemudiannya digunakan di dalam kajian rintis (pilot test) yang bertujuan untuk menguji jenis instrumen yang sesuai digunakan bagi mencapai objektif kajian, menentukan ketepatan cara pemilihan persampelan serta menguji tahap kebolehpercayaan instrumen. Kajian rintis (pilot test) telah dijalankan selama seminggu, iaitu pada September 2015 serta melibatkan jumlah keseluruhan 100 buah keluarga sebagai responden. Pihak UNISEL telah menjalankan kajian rintis (pilot test) di kawasan luar bandar yang melibatkan 50 buah keluarga di Kampung Bestari Jaya. Manakala pihak UTAR pula telah menjalankan kajian rintis (pilot test) di kawasan bandar yang melibatkan 50 buah keluarga di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya.

    Setelah itu, pengumpulan data kajian secara makro akan dilaksanakan di seluruh Negeri Selangor menggunakan empat (4) kaedah pengumpulan data secara kuantitatif dan kualitatif dengan jumlah keseluruhan sampel sebanyak 10,000. Pengumpulan data ini akan diselaraskan melalui penubuhan jawatankuasa seperti ketua penyelidik bagi setiap daerah, penyelidik daerah serta dibantu oleh enumerator yang telah dan akan dilatih. Rangka kerja yang tersusun ini adalah signifikan bagi memastikan pengumpulan data yang dijalankan adalah mengikut jadual perancangan kajian serta mencapai objektif dan matlamat kajian.

Lampiran

Tiada Lampiran.