KAJIAN KEMISKINAN DI BANDAR DAN DESA

116) KAJIAN KEMISKINAN DI BANDAR DAN DESA

Tahun:

Sesi:

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah dapatan dan rumusan daripada Kajian Kemiskinan di Bandar dan Desa yang telah dijalankan oleh Universiti Tunku Abdul Rahman dan UNISEL?

    Hasil Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor telah dibentangkan oleh Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2016 bertarikh 8 Jun 2016 yang lalu.

    Antara hasil dapatan dan rumusan kajian adalah merangkumi faktor-faktor yang dikenalpasti menyebabkan kemiskinan. Ianya terdiri daripada tiga (3) dimensi iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Taraf Hidup. Hasil dapatan ini juga adalah berdasarkan kepada Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index – MPI) yang mana merupakan pengukuran antarabangsa terhadap masalah kemiskinan yang semakin meruncing meliputi 110 buah negara membangun.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih lagi meneliti, mempertimbangkan dan mengkaji semula hasil dapatan keseluruhan kajian ini secara mikro dari pelbagai aspek termasuk kewangan, ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan hasil kajian yang diperolehi adalah benar-benar menyeluruh, komprehensif, realistik dan bersesuaian untuk digunapakai di Negeri Selangor serta akhirnya dapat memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

    Berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor dikekalkan pada paras RM1,500.00 seisi rumah dan digunapakai oleh semua Jabatan/ Agensi di Negeri Selangor yang menyelaras dan melaksanakan program bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). PGK Selangor ini dilihat lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930.00 seisi rumah.

Lampiran

Tiada Lampiran.