Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

226) KAJIAN KEMISKINAN DI SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status kajian kadar kemiskinan di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 5/2015 pada 4 Februari 2015 yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Hasil kajian tersebut telah dibentangkan oleh pihak UNISEL dan UTAR kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2016 bertarikh 8 Jun 2016 yang lalu.

    Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor, menganalisis penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan serta mewujudkan dan membangunkan Sistem Smart Prihatin Selangor (Sistem SPS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isi rumah Selangor berpendapatan di bawah PGK yang akan ditetapkan.

    Cadangan PGK ini adalah untuk melihat SIAPA yang berada di bawah PGK boleh diklasifikasikan sebagai miskin. Ianya perlu bersifat dinamik iaitu sejajar dengan peningkatan pendapatan isi rumah Selangor pada masa akan datang. Dalam pada itu, faktor-faktor yang menyebabkan kemiskinan juga perlu diteliti secara lanjut dalam tiga (3) kriteria utama/dimensi iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Taraf Kehidupan bagi menjawab MENGAPA individu atau isi rumah tersebut dikategorikan sebagai miskin. Ini seterusnya dapat membantu Kerajaan Negeri Selangor mengenal pasti SIAPA yang miskin dan MENGAPA berlakunya kemiskinan tersebut serta tahap keparahan kemiskinan isi rumah berkaitan.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih lagi meneliti, mempertimbangkan dan mengkaji semula hasil dapatan kajian ini secara mikro dari pelbagai aspek termasuk kewangan, ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan hasil kajian yang diperolehi adalah benar-benar menyeluruh, komprehensif, realistik dan bersesuaian untuk digunapakai di Negeri Selangor serta akhirnya dapat memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

    Hasil kajian yang menyeluruh dan realistik ini dijangka akan menjadi sumber rujukan utama dalam membolehkan serta memudahkan Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti, merangka serta menentukan hala tuju, strategi, dasar baru dan peruntukan yang lebih komprehensif bagi membasmi kemiskinan secara total dan efektif. Selain itu, ianya dilihat membolehkan pemberian bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan semasa dalam memastikan golongan sasaran terus mendapat manfaat serta peluang ekonomi secara saksama tanpa mengira etnik dan latar belakang ke arah membentuk masyarakat yang lebih makmur dan berdaya maju.

Lampiran

Tiada Lampiran.