Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

108) KAJIAN KEMISKINAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan penemuan-penemuan kajian tersebut?

    Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 5/2015 pada 4 Februari 2015 yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Hasil kajian tersebut telah dibentangkan oleh pihak UNISEL dan UTAR kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2016 bertarikh 8 Jun 2016 yang

    Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor, menganalisis penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan serta mewujudkan dan membangunkan Sistem Smart Prihatin Selangor (Sistem SPS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isi rumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK yang akan ditetapkan.

    Cadangan PGK ini berupaya untuk melihat SIAPA yang berada di bawah PGK boleh diklasifikasikan sebagai miskin. Bagi menjawab MENGAPA miskin pula, satu (1) indeks yang dikenali sebagai Indeks Prihatin Selangor (Selangor Prihatin Indeks (SPI)) diperkenalkan. Diadaptasi daripada Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index– MPI) yang mana merupakan pengukuran antarabangsa terhadap masalah kemiskinan di 110 buah negara membangun, SPI akan menilai faktor-faktor yang menyebabkan kemiskinan dalam tiga (3) dimensi yang merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup.

    Kombinasi penggunaan PGK dan SPI ini adalah bersifat dinamik yang akan dapat membantu Kerajaan Negeri Selangor mengenalpasti SIAPA yang miskin dan MENGAPA berlakunya kemiskinan tersebut serta tahap keparahan kemiskinan isi rumah berkaitan. Impaknya, usaha pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih efektif.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih lagi meneliti, mempertimbangkan dan mengkaji semula hasil dapatan kajian ini secara mikro dari pelbagai aspek termasuk kewangan, ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan hasil kajian yang diperolehi adalah benar-benar menyeluruh, komprehensif, realistik dan bersesuaian untuk digunapakai di Negeri Selangor serta akhirnya dapat memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

    Hasil kajian yang menyeluruh dan realistik ini dijangka akan menjadi sumber rujukan utama dalam membolehkan serta memudahkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti, merangka serta menentukan hala tuju, strategi, dasar baru dan peruntukan yang lebih komprehensif bagi membasmi kemiskinan secara total dan efektif. Selain itu, ianya dilihat membolehkan pemberian bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan semasa dalam memastikan golongan sasaran terus mendapat manfaat serta peluang ekonomi secara saksama tanpa mengira etnik dan latar belakang ke arah membentuk masyarakat yang lebih makmur dan berdaya maju.

Lampiran

Tiada Lampiran.