Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

37) KAJIAN PENGANGKUTAN AWAM SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejak 12 laluan pengangkutan awam dikenalpasti, apakah status perlaksanaannya?

    Jawapan (a) dan (b) di jawab bersekali.

    Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam  Negeri Selangor (PIPANS) sebagai dokumen asas kepada semua agensi Kerajaan dan swasta di  Negeri Selangor dalam  perancangan menyeluruh ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam  yang komprehensif. Inisiatif Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kajian PIPANS adalah bagi memberikan lakaran dan alternatif baru jajaran dan jalinan pengangkutan awam supaya Kerajaan Negeri dapat merangka sistem pengangkutan awam yang menepati keadaan semasa dan kehendak rakyat Negeri Selangor.

    Penyediaan PIPANS turut mengenalpasti sistem pengangkutan awam menggunakan landasan yang terdiri daripada 12 cadangan koridor laluan pengangkutan awam yang mempunyai laluan paling optimum untuk Negeri Selangor. Namun begitu, pelaksanaannya memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak terutama agensi pelaksana pengangkutan berkaitan khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan. Penyelarasan di peringkat semua pihak amat diperlukan dalam perancangan pembangunan supaya pelan ini dapat diintegrasikan ke dalam pelan-pelan agensi sedia ada dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk  meningkatkan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian dengan nisbah 60:40.

    Bagi memastikan cadangan-cadangan di dalam Pelan Induk ini dapat dilaksanakan, Kerajaan Negeri telahpun mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya pihak SPAD mengambilkira dan mengintegrasikan penemuan dan cadangan PIPANS ke dalam pelan induk SPAD. Sebarang permohonan dan perancangan baru pengangkutan awam sama ada melalui agensi Kerajaan atau swasta juga disarankan untuk mengambilkira cadangan Pelan Induk ini. Di peringkat Kerajaan Tempatan pula, Pelan Induk ini perlu diselaraskan dengan Rancangan Tempatan (RT) yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

    Penyediaan dokumen ini  jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya telah bersedia dan mempunyai pandangan jauh dalam memulakan pelan pengangkutan yang mampan terutamanya dalam menambahbaik sistem pengangkutan di Negeri Selangor. Ianya dijadikan sebagai Blueprint dan sumber rujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam sebarang perancangan melibatkan pembangunan projek pengangkutan awam di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.