Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

16) KAJIAN PERBADANAN ADAT MELAYU DAN WARISAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kajian dan penyelidikan terkini yang sedang dilakukan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor?

    Penyelidikan terkini yang sedang dilaksanakan oleh PADAT adalah seperti berikut:

     

    1. Penyelidikan sejarah

     

       1.1       Penyelidikan sejarah Jeram dan Bukit Malawati

     

    PADAT sedang dalam usaha melaksanakan penyelidikan pra kesultanan dan zaman kesultanan Selangor. Penyelidikan ini bertujuan untuk mendapatkan data-data sejarah yang lengkap mengenai zaman sebelum dan semasa kesultanan Selangor. Bagi tujuan ini kaedah yang digunakan adalah termasuk ekskavasi arkeologi di tapak berkenaan. Sejarah menyatakan terdapat penempatan awal di Jeram sebelum zaman kesultanan yang perlu diselidiki dengan lebih terperinci.

     

    Bagi tapak Bukit Malawati kaedah GPR (Ground Penetrating Radar) akan dilaksanakan bagi mengenalpasti keseluruhan komponen yang terdapat di kawasan tersebut. Sehingga kini beberapa tapak belum ditemui diantaranya kedudukan istana lama yang didirikan oleh Raja Lumu dan taburan kedudukan meriam-merian di bukit ini. PADAT merangkakan untuk menyediakan “Pelan Induk”bagi tujuan pemuliharaan bukit ini berdasarkan fakta-fakta sejarah yang tepat.

     

     

     

     

    1.2       Penyelidikan Raja Muda Nala: Hubungan Kesultanan Selangor dan  Kesultanan Aceh

     

    Raja Muda Nala adalah merupakan Raja Muda Selangor yang pertama yang mangkat dan dimakamkan di Acheh Indonesia pada abad ke 17M. Penyelidikan tertumpu kepada kesahihan makam Raja Muda Nala yang ada di Aceh yang didakwa sekarang ini. Mengikut sejarah Raja Muda Nala telah dihantar ke Acheh bagi mengetuai pasukan askar dari Selangor atas titah Sultan Ibrahim, untuk membantu Sultan Acheh yang berperang dengan suku kaum hulu di Acheh. Peranan Raja Muda Nala ini membuktukan hubungan kesultanan Selangor dan kesultanan Aceh yang begitu akrab.

     

    Pihak PADAT telah berjaya mendapatkan beberapa manuskrip berkaitan dengan Raja Muda Nala iaitu melalui surat-surat Francis Light yang terdapat didalam simpanan School of Oriental Studies, Universiti of London pada April 2019. Pada peringkat ini masih didalam proses transliterasi dengan kerjasama daripada Universiti Petronas Malaysia. PADAT juga telah mengadakan MOU Bersama pihak Universiti Syah Kuala Aceh bagi perlaksanaan penyelidikan dan juga pengesahan berkaitan makam tersebut.

     

    Matlamat akhirnya ialah untuk mengangkat Raja Muda Nala sebagai pahlawan Selangor dan menaiktaraf makamnya. Mengikut data-data peranan yang dimainkan oleh Raja Muda Nala adalah sangat besar terutama dalam merancang dan melaksanakan serangan-serangan ketenteraan membantu Sultan Ibrahim semasa menghalau Belanda dari Selangor dan juga sebagai perancang pembangunan perusahaan bijih timah di Selangor

     

    • Penyelidikan Hubungan Kesultanan Selangor dan Kesultanan Palembang

     

    Penyelidikan ini dilaksanakan berdasarkan dari jumpaan arkeologi batu nisan Aceh yang digunakan oleh Sultan Ibrahim Sultan Selangor kedua yang mempunyai ukiran dan motif yang unik dan motif ini tidak digunakan di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

     

    Hasil survei yang dilakukan di tapak-tapak perkuburan lama di Palembang telah berjaya menjumpai nisan yang mmempunyai bentuk dan motif yang sama seperti yang digunakan oleh Sultan Ibrahim.

     

    Kajian ini masih lagi diperingkat kajian artefaktual dan perlunya beberapa kajian dilaksanakan di Arkib kerana hubungan kesultanan Selangor dan kesultana Palembang masih belum ada yang meneliti.

     

    • Penyelidikan Lombong arang batu di Batu Arang

     

    Lombong arang batu bawah tanah ini telah dibuka oleh Malayan Collieries Ltd dari United Kingom pada tahun 1913 dan ditutup pada tahun 1960. Merupakan penyumbang besar kepada hasil negeri Selangor pada masa itu dan juga penggunaan guna tenaga yang mencapai hingga 6,000 orang. Terowong-terowong bertingkat-tingkat ini meliputi kawasan seluas 700 km persegi dengan kedalamannya mencapai 1,000 meter kebawah tanah. Secara dasarnya pekan Batu Arang sekarang adalah terletak diatas terowong-terowong ini yang mungkin boleh runtuh pada bila-bila masa. Oleh itu pekan ini tidak dapat dibangunkan dengan bangunan-bangunan tinggi, malahan terdapat bangunan sekolah yang hanya menggunakan bahan-bahan kayu bagi mengelakan dari roboh.

     

    Pada masa ini terdapat berbagai tinggalan berupa bangunan-bangunan lama, terowong-terowong, artifak dan masyarakat pewaris pelombong-pelombong yang perlu dipulihara sebagai bukti sejarah dan yang penting berpotensi dibangunkan sebagai produk dan destinasi pelancongan yang menarik di daerah Gombak. Program ini dijangkakan akan disiapkan pada awal tahun hadapan.

     

    1.5       Penyelidikan adat dan pakaian pengantin tradisional di Selangor

     

    Penyelidikan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan data-data berkaitan amalan dan budaya tradisi pengantinan di Selangor. Kajian ini merangkumi semua kampong-kampong yang terdapat di Selangor. Ianya dianggarkan dapat menemubual hampir 100 orang andam-andam tradisional. Beberapa bengkel bersama-sama andam-andam ini mengikut daerah-daerah juga telah mula diadakan.

     

    Dapatan awal dari program ini, penyelidik PADAT telah memulakan pengumpulan maklumat-maklumat mengenai adat-adat pengantinan dari seawal selepas zaman Perang Dunia Kedua hinggalah berlakunya evolusi pengantin moden dalam era 80’an hingga sekarang. Selain data-data ini kajian ini berjaya mendapatkan busana-busanya pengantin dan berbagai peralatan pengantinan yang masih dalam simpanan andam-andam tersebut.

     

    Hasil kajian ini, PADAT telah merangkakan untuk menubuhkan galeri khas pengantin di Muzium Sultan Alam Shah yang akan mempamirkan lebih dari 100 pasang busana pengantin tradisional dan berbagai-bagai bahan hantaran yang telah dilupakan sekarang ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.