Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

169) KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan EXCO untuk menaiktarafkan taraf kampung tradisi melalui program kebudayaan dan warisan?

    Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi mengambil maklum akan kepentingan aspek budaya dan warisan terutamanya yang melibatkan Kampung Tradisi. Saban tahun, banyak program-program kebudayaan dan warisan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuklah pelancaran dan penggunaan lagu tema Kitakan Sekampung.

     

    Lagu ini dicipta dan digubah dengan memilih irama etnik kreatif sebagai asas sususan muzik dan lirik. Susunan muzik dan lirik tersebut diterjemahkan di dalam video klip yang berdurasi 60 saat yang berlatar belakangkan suasana kampung dan desa di Negeri Selangor khususnya dan ditayangkan setiap kali program yang melibatkan Jawantakuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar , Desa dan Kampung Tradisi.

     

    Kerajaan Negeri yakin dan percaya usaha-usaha yang dijalankan untuk menaiktaraf Kampung Tradisi melalui program kebudayaan dan warisan mampu untuk menjadi pendorong utama merapatkan hubungan dan kemesraan di kalangan masyarakat kampung tradisi tanpa mengira perbezaan fahaman, bangsa dan taraf kehidupan.

     

    Selain itu, semua Pejabat Daerah dan Tanah diminta untuk mengenal pasti elemen warisan yang masih ada di kampung tradisi masing-masing seperti Rumah Warisan dan tinggalan-tinggalan sejarah lama yang boleh dikekalkan dan dipulihara. Sejajar dengan maksud tersebut, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar akan melaksanakan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Negeri Selangor 2019 yang dijangka akan dimulakan pada bulan Ogos ini. Satu kategori baharu telah diwujudkan iaitu kategori Rumah Tradisional Terbaik. Pertandingan ini turut melibatkan pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) selaku penasihat dan bertindak sebagai juri bagi kategori tersebut.

     

    Salah satu lagi usaha Kerajaan Negeri untuk menaiktaraf dan mengiktiraf Kampung Tradisi melalui elemen kebudayaan dan warisan ialah menerusi Program Sayangi Desa yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi. Program ini diadakan di setiap daerah di Negeri Selangor secara berjadual dan bertema yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat. Ianya juga bertujuan untuk mengetengahkan semula keunikan adat warisan budaya tradisi di setiap daerah atau kampung kepada masyarakat setempat supaya tidak hilang ditelan zaman dan terus dipelihara oleh generasi muda untuk memperkukuhkan diri bangsa Malaysia.

     

    Salah satu aktiviti wajib di dalam Program Sayangi Desa adalah Jelajah Kampung. Inisiatif ini dapat membolehkan Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan potensi budaya dan warisan sedia ada di kampung tersebut untuk di promosikan atau dinaiktaraf supaya ianya kekal relevan untuk manfaat generasi masa hadapan.

     

    1. Pada masa ini, Kerajaan Negeri belum menyediakan sebarang peruntukan khas yang diberikan kepada Kampung Tradisi untuk membangunkan produk-produk berpotensi tempatan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan ada menyalurkan bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas yang bertujuan untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan produk-produk hasilan tempatan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

     

    Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM250,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Lima Puluh Ribu) bagi setiap daerah untuk disalurkan kepada pemohon yang layak. Setiap pemohon yang layak akan menerima bantuan sehingga RM30,000.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Ribu). Skop bantuan DUMS ini adalah seperti berikut:

     

    • Bantuan pembelian mesin/ peralatan/ perkakasan;

     

    • Meningkatkan kualiti premis/ perniagaan iaitu mengubahsuai/ menaiktaraf;

     

    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;

     

    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, pensijilan GMP, HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan

     

    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor.

     

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.