Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

48) KANAK-KANAK TANPA KEWARGANEGARAAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah anak tanpa kewarganegaraan di Selangor? Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam memastikan hak mereka terjaga sewajarnya?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin tiada data khusus mengenai jumlah anak tanpa kewarganegaraan di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa telah mewujudkan satu program khusus iaitu Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel untuk membantu rakyat di Negeri Selangor yang keciciran dalam mendapatkan dokumen asas pengenalan diri termasuklah kes – kes melibatkan kewarganegaraan. Pusat ini ditubuhkan untuk membantu golongan miskin yang menetap di Negeri Selangor dalam mendapatkan dokumen – dokumen peribadi / asas / penting seperti dokumen pengenalan diri, sijil kelahiran dan kad pengenalan serta menyelesaikan permasalahan anak – anak yang tidak mempunyai surat beranak yang disebabkan oleh sindiket perkahwinan di sempadan termasuklah kegagalan ibu bapa untuk mendaftar kelahiran anak – anak mereka di atas sebab – sebab tertentu.

     

    Ketiadaan sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen – dokumen pengenalan diri di kalangan rakyat di negeri Selangor akan mengakibatkan terdapatnya anak – anak yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna di peringkat sekolah sekaligus tidak melayakkan mereka untuk ke institusi pengajian awam mahupun swasta. Sehubungan dengan itu, permohonan yang direkodkan berjaya bagi mendapatkan dokumen asas pengenalan diri di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel sejak September 2018 sehingga kini adalah berjumlah 241 iaitu merangkumi 78 permohonan berjaya bagi mendapatkan sijil kewarganegaraan manakala 163 permohonan berjaya selebihnya adalah untuk mendapatkan Sijil Lahir, Kad Pengenalan, Kad Pengenalan Merah, Dokumen Anak Angkat serta Kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.