Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

67) KARNIVAL KAMPUNGKU KESAYANGANKU (3K)

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana 3K dapat melahirkan masyarakat desa yang mengimarahkan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung sudut fizikal, spiritual dan ekonomi serta menyuburkan adat warisan kampung?

    Karnival  Kampungku  Kesayanganku  (3K)  merupakan  program tahunan yang telah dilaksanakan bermula tahun 2015 untuk memperkasakan institusi kampung. Program ini juga diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2016 dan 2017 selepas mendapat maklum balas yang positif dari Pejabat Daerah dan juga penduduk kampung. Pada tahun 2017, Program 3K telah dilaksanakan di sembilan (9) buah daerah dalam Negeri Selangor.

     

    Pembangunan  Desa  merupakan  fokus utama pentadbiran Kerajaan Negeri

    Selangor yang terdiri daripada 9 daerah dan mempunyai sebanyak 371 Kampung Tradisi di seluruh Selangor. Pembangunan di kampung-kampung jauh lebih ketinggalan berbanding pembangunan yang telah dicapai di bandar. Oleh yang demikian, dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan desa, ianya dapat mengurangkan jurang di antara pembangunan di desa dan  di bandar. Pelaksanaan Program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) di seluruh Negeri Selangor merupakan salah satu inisiatif dalam membangunkan desa selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap keperluan rakyatnya.

     

    Program 3K telah bermula pada tahun 2015 dengan objektif utama untuk melahirkan masyarakat desa yang mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung dari sudut fizikal, spiritual dan ekonomi serta dapat menyuburkan adat dan warisan kampung.

     

    Program ini telah mencapai objektifnya dimana sepanjang dua (2) tahun pelaksanaannya iaitu pada  tahun 2015 dan 2016, perjalanan program semakin tersusun, bilangan pengunjung semakin bertambah dengan bilangan penyertaan yang semakin meningkat  bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan. Oleh itu Kerajaan Negeri telah meneruskan pelaksanaan Program 3K pada 2017 dengan peruntukan sebanyak RM630,000.00.

     

    Karnival 3K di meriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh diikuti oleh segenap lapisan masyarakat yang merangkumi aktiviti keagamaan seperti ceramah agama, forum kekeluargaan, kursus imam dan bilal, qiamullail, kuliah maghrib, tahnik di ikuti dengan kenduri rakyat, sukaneka, nikah perdana, aktiviti larian, kayuhan, pertandingan masakan tradisional, aktiviti kanak-kanak supa dupa, sembelihan halal sehinggalah kepada lawatan turun padang oleh Y.B ke kawasan sekitar masjid tempat berlangsungnya Karnival 3K. Selain itu, acara lain yang turut di adakan adalah seperti pertandingan khat, mewarna, mencipta kad dua (2) dimensi, memasak dan gubahan sireh.

    Bagi menjayakan program ini, masjid telah dijadikan sebagai lokasi program. Masjid sengaja dipilih sebagai lokasi penganjuran untuk memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa masjid bukan hanya dijadikan sebagai tempat beribadah semata-mata, tetapi juga boleh berfungsi sebagai sebuah pusat pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.

    Program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) ini dilaksanakan selama dua (2) hari dan dua (2) malam, iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu bagi sembilan (9) daerah di Negeri Selangor dan melibatkan penyertaan semua kategori masyarakat yang terdiri daripada pimpinan masyarakat, ibu bapa, belia dan orang awam.

    Pelaksanaan Program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) ini diharap dapat melahirkan keluarga yang harmoni berlandaskan acuan nilai  agama dan nilai murni  selain memupuk rasa kasih dan sayang kepada kampung halaman. Program  ini juga diharap dapat melahirkan penduduk desa yang memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung dari sudut fizikal, spiritual dan ekonomi  serta dapat mengenengahkan adat Melayu dan warisan kampung.

    Melalui Program 3K, Kerajaan Negeri telah memberi peluang dan ruang bagi peniaga serta usahawan kampung untuk memperkenal dan memasarkan produkproduk mereka sepanjang karnival berlangsung.

    Justeru, masjid bukan sahaja dijadikan sebagai tempat untuk beribadah namun dijadikan juga tempat untuk mengembangkan ekonomi. Penyertaan penduduk di dalam aktiviti yang dilaksanakan memberi ruang kepada masyarakat desa untuk berjumpa dan berbincang dengan pemimpin serta menyumbang idea ke arah pembangunan komuniti.

Lampiran

Tiada Lampiran.