Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

168) KAWALAN HARGA RUMAH

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan pendirian Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kenaikan harga rumah tidak terlalu mendadak terutamanya di kawasan bandar.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan bahawa rakyat Negeri Selangor memiliki rumah sendiri khususnya untuk golongan B40. Bagi memastikan kenaikan harga rumah tidak terlalu mendadak, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula pada 02 April 2018. Melalui dasar tersebut terdapat Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) yang dijual bermula dari RM42,000.00 hingga RM250,000.00 seunit dengan keluasan binaan dari 700 kaki persegi hingga 900 kaki persegi (jenis perumahan bertingkat) manakala 700 hingga 1,000 kaki persegi dan saiz 20’ x 60’ (jenis perumahan teres / bertanah). Selain itu, peruntukkan peratusan pembinaan Rumah Selangorku ini adalah di antara 20% hingga 40% di setiap pembangunan perumahan. Dengan adanya Rumah Selangorku ini, ianya dapat mengimbangi harga jualan dengan Rumah Harga Bebas yang berdasarkan kepada permintaan pasaran semasa.

    Melalui dasar tersebut, pihak pemaju/ pemilik tanah dikenakan syarat untuk membina Rumah Selangorku berdasarkan kepada keluasan pembangunan dan ianya mengikut zon/ kawasan pembangunan. Bagi zon 1 pembangunan, tapak pembangunan di bawah 5 ekar dikenakan syarat 20% Rumah Selangorku, 5 ekar hingga 10 ekar 20% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 40% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

    Bagi zon 2 pembangunan pula, tapak pembangunan melebihi 5 ekar hingga 10 ekar dikenakan syarat 15% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 30% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

    Manakala bagi zon 3 pembangunan pula, tapak pembangunan melebihi 10 ekar hingga 20 ekar dikenakan syarat 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 30% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

    Oleh itu, sekiranya terdapat cadangan pembangunan perumahan yang dikemukakan oleh pihak pemaju/ pemilik tanah adalah menjadi keutamaan/ tanggungjawab pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk memastikan komposisi/ syarat pembangunan Rumah Selangorku tersebut dipatuhi berdasarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) bagi memastikan Rumah Selangorku berada di pasaran sekaligus boleh ditawarkan kepada pembeli yang layak termasuk golongan B40.

Lampiran

Tiada Lampiran.