Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

125) KAWALAN JUALAN ARAK

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat kes di mana Kerajaan Negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menarik balik larangan orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak. Siapakah Pihak yang sebenarnya bertanggungjawab mengawal penjualan arak di Selangor ?

    Penjualan arak di Malaysia boleh dikategorikan kepada 2 jenis iaitu “liquor” dan “beer” :-

    Liquor :

    Sejenis minuman keras yang kandungan alkoholnya melebihi 5% dan pengawalan serta pengeluaran lesen penjualannya tertakluk di bawah pengawasan Pejabat Tanah dan Galian manakala Kastam Diraja Malaysia diberi kuasa sebagai pelaksana undangundang untuk mengawal penjualannya di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 (Akta 235) :

    “Dengan disedarinya melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya atau membenarkan, membiarkan, menyebabkan atau mendapatkan untuk dilindungi, disimpan atau disembunyi, apa‐apa barang-barang tak berkastam atau barang larangan.”

    Beer :

    Sejenis minuman yang dikategorikan sebagai minuman beralkohol tetapi jumlah kandungan alkoholnya di bawah 5%. Pengawalan lesen dan penjualannya terletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Meminum arak ataupun minuman beralkohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, sama ada sipeminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.

    Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuat kuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

    Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (2) iaitu “Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

    Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor. Walau bagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK samasekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya di sisi Islam dan bukan untuk mengganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Lampiran

Tiada Lampiran.