Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

204) KAWALAN KUALITI AIR SUNGAI

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar dan LUAS ke atas sungai-sungai yang bukan menjadi sumber air bersih, bagi memastikan sungaisungai tersebut tidak tercemar?

    Juga menjawab pertanyaan-pertanyaan berikut;

    • Pertanyaan mulut Y.B. Tuan Ng Tien Chee berkenaan Pencemaran Pencemaran Air Mentah (a)
    • Pertanyaan mulut Y.B. Tuan Khasim Bin Abd. Aziz berkenaan Pencemaran di Selangor (b)
    • Pertanyaan mulut Y.B. Datuk Seri Wan Azizah Binti Wan Ismail berkenaan Pencemaran Sungai (a)
    • Pertanyaan mulut Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abd. Aziz berkenaan Pencemaran dan Kekurangan Sumber Air Mentah (b)

    Memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri. Melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pemantauan dan siasatan (berkala dan tidak berkala) dijalankan bagi memastikan sumber air dipelihara daripada pelbagai aktiviti yang memberikan kesan negatif kepada kuantiti dan kualitinya.

    Dalam pada itu, usaha penjagaan dan pemuliharaan sumber air dilaksanakan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan :

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai,
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai, dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air.

    Penguatkuasaan kuasa perundangan yang diperuntukkan dilaksanakan dalam penjagaan sumber air, antaranya :

    • pelesenan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012,
    • pemberian Kebenaran Bertulis bagi Aktiviti Pengubahan Sumber, semua aktiviti yang dijalankan melibatkan badan air, dan
    • pengeluaran Notis Pemberitahuan Kesalahan, Kompaun dan pendakwaan bagi setiap kesalahan yang berkaitan dengan sumber air.

    Selain itu, beberapa program sedang dilaksanakan, antaranya :

    • Mewartakan kawasan rizab sungai sebagai zon perlindungan bagi tujuan kawalan fizikal dan kualiti air sungai.
    • Menyediakan daftar sumber air Negeri untuk tujuan kawalan dan penguatkuasaan;
    • Kajian semula inventori pemetaan pencemaran dengan penganalisaan risiko tahap pencemaran dan menetapkan syarat yang lebih ketat; dan
    • PembangunanDecision Support System, (DSS) bagi pengurusan Lembangan Sungai Selangor secara holistik.

     

    Terdapat juga beberapa aktiviti yang mana ia adalah di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, antaranya kawalan pencemaran terhadap aktiviti perindustrian dan efluen loji rawatan kumbahan (Sewerage Treatment Plant, STP).

    Dalam pada itu, antara usaha yang dilaksanakan bagi mengenalpasti aktiviti berhampiran dengan sungai adalah menjalankan kajian semula inventori pemetaan pencemaran dengan penganalisaan risiko tahap pencemaran dan menetapkan syarat yang lebih ketat. Data-data diperoleh daripada jabatan-jabatan teknikal berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    • Pelesenan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012

    melibatkan 7 Aktivti Berjadual iaitu akuakultur udang laut, akuakultur air tawar, kawasan pembangunan atau kerja tanah, penternakan selain babi, penternakan babi, haiwan kesayangan dan pencucian pasir/kuari.

    • Pengeluaran Notis Pemberitahuan Kesalahan, Kompaun dan Pendakwaan.

    Untuk kes pencemaran minyak Sungai Selangor yang berlaku pada Ogos 2013, pendakwaan telah dibuat dan kini kes Selangor tersebut sedang dalam peringkat perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

    • Pewartaan kawasan rizab sungai sebagai zon perlindungan.

    Tiada aktiviti berisiko tinggi yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran air sungai dibenarkan di kawasan rizab sungai yang telah diwartakan. Sungai Selangor telah pun diwartakan. Sungai Langat, Sungai Semenyih dan anak-anak sungai lain sedang dalam tindakan pewartaan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Selangor;

    • PembangunanDecision Support System, (DSS)

    pelepasan air empangan akan dilaksanakan secara optima dengan mengambilkira keadaan semasa aliran sungai dan juga ramalan hujan di kawasan tadahan. Pembangunan DSS ini juga akan direplikasi kepada lembangan lain secara berfasa.

    JAWAPAN OLEH PIHAK JABATAN ALAM SEKITAR (JAS)

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menjalankan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974 tidak hanya tertumpu kepada lembangan sungai yang menjadi sumber air bersih. Bagi sungai yang tidak menjadi sumber air, penguatkuasaan undang-undang oleh JAS masih tetap dijalankan bagi memastikan sungai berkenaan tidak menerima pencemaran daripada punca-punca yang tertakluk di bawah AKAS 1974.

    Di samping itu, rondaan oleh pegawai JAS juga dijalankan sebagai langkah pencegahan atau mengenal pasti pencemaran pada peringkat awal bagi mengelakkan berlaku pencemaran ke dalam mana-mana sungai.

    Sekiranya terdapat premis yang tidak mematuhi AKAS 1974 maka tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil seperti mengeluarkan Notis Arahan, kompaun atau tindakan mahkamah.

    JAS juga berperanan dalam memberi nasihat kepada pihak pengusaha yang ingin membina kilang tentang kaedah atau alat kawalan yang patut digunakan supaya pelepasan efluen dari kilang dapat dirawat dengan sempurna bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan di bawah AKAS 1974.

    JAS juga menganjurkan kempen untuk melindungi alam sekitar di mana ia adalah sesuatu yang sihat dan amat berfaedah kepada masyarakat. Kempen-kempen melindungi alam sekitar seperti kempen Cintailah Sungai Kita, kempen kitar semula buangan, Rakan Alam Sekitar, pameran alam sekitar dan sebagainya bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengajar masyarakat akan kepentingan memelihara dan melindungi alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.