Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

63) KAWALAN PEMBANGUNAN DI KAWASAN HUTAN DI BUDIMAN VALLEY DAN TASIK SUBANG

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri mempunyai polisi untuk tidak lagi membenarkan pembangunan di lakukan di baki kawasan hutan dan tadahan air tasik Subang di Budiman Valley supaya habitat tapir tidak terganggu.

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya mempunyai kepentingan nasional seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya. Buat masa ini, tiada sebarang aktiviti pengusahasilan hutan melibatkan pembalakan dibenarkan di dalam kawasan hutan simpan yang berhampiran Budiman Valley.

    Selain itu, terdapat Garis Panduan Perancangan Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (GPPPP KSAS) yang disediakan oleh PLANMalaysia dan boleh digunapakai oleh Kerajaan Negeri dan PBT di Negeri Selangor. Di antara garis panduan ini termasuklah:

    1. GPPPP KSAS Kawasan Tadahan Air dan Sumber Air Tanah;
    2. GPPPP KSAS Dataran Banjir, Tanah Lembap, Tanah Bekas Lombong, Tasik dan Sungai;
    3. GPPPP KSAS Habitat Hidupan Liar;
    4. GPPPP KSAS Hutan Simpanan Kekal;dan
    5. GPPPP KSAS Warisan Kebudayaan dan Warisan Semula Jadi.

     

    Garis panduan ini diformulasi daripada asas perundangan dan dasar-dasar terkini, falsafah dan strategi pembangunan, keupayaan tampungan serta perlindungan alam sekitar dan biodiversiti kawasan.

Lampiran

Tiada Lampiran.