Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

102) KEADAAN EKONOMI SEMAKIN TERUK (KAD KISS)

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah KAD KISS akan diserahkan kepada pejabat ADUN Selat Klang?

    Jawapan ini akan dijawab bersekali dengan soalan no. 142 dari Ahli Yang Berhormat Taman Medan, soalan no. 178 dari Ahli Yang Berhormat Ijok, soalan no. 145 dari Ahli Yang Berhormat Hulu Kelang, soalan no. 173 dari Ahli Yang Berhormat Tanjung Sepat, soalan no.113 dari Ahli Yang Berhormat Kuala Kubu Bharu dan soalan no. 134 dari Ahli Yang Berhormat Seri Serdang.

    Sebagaimana yang Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) ini telah berjaya menarik minat semua pihak di Malaysia yang mana program ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan kaum ibu yang menguruskan, mendidik dan membesarkan anak dalam sesebuah keluarga.

    Berdasarkan ucapan pembentangan belanjawan yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada November 2017 yang lalu, Program KISS ini bakal memberi manfaat kepada 30,000 orang rakyat Selangor. Bermula saat itu, setiap hari Pejabat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN telah didatangi oleh rakyat setempat yang ingin membuat permohonan untuk mendapatkan manfaat program ini. Jelas sekali menunjukkan bahawa bantuan sebegini amat diperlukan oleh rakyat Selangor dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan yang paling penting adalah untuk menjalani kehidupan yang sihat serta melahirkan institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera. Namun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada kaum ibu yang menepati kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Program KISS ini telah pun dilancarkan pada 22 Januari 2018 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Kampung Permatang, Kuala Selangor. Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada rakyat di Selangor kerana nilai manfaat program ini amat besar dan bermakna kepada kaum ibu dalam memenuhi keperluan asas keluarga.

     

    Nilai RM200 dan Barangan 

    Dengan nilai bantuan sebanyak RM200 sebulan daripada Kerajaan Negeri, kaum ibu di Selangor kini boleh membeli barangan keperluan asas keluarga secara tanpa tunai (cashless) seperti beras, mi dan bihun, roti, biskut, telur, gula dan garam, rempah ratus, sos, kicap, tepung, minyak masak, sayur-sayuran, buah- buahan, daging (ayam, lembu, kambing), ikan, lampin pakai buang, barangan persekolahan, produk tenusu (susu segar, susu tepung, susu sejat, susu pekat manis) dan sabun, kelengkapan mandian serta bahan pencuci.

     

    Proses Pendaftaran Ahli KISS

     Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, untuk membuat permohonan pendaftaran ahli Program KISS ini, pemohon perlu memuat turun borang permohonan di laman web rasmi KISS iaitu di www.kiss.com.my serta melengkapkan borang kerkenaan dengan melampirkan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam borang permohonan berkenaan.

    Borang yang telah lengkap ini tadi perlulah dihantar ke Pejabat DUN atau Pejabat Penyelaras DUN atau Pejabat Exco Kebajikan untuk disemak dan disaring mengikut kelayakan seperti kriteria yang telah ditetapkan sebelum dikemukakan kepada Selcare Management Sdn Bhd iaitu pengendali program ini untuk proses cetakan kad KISS.

    Namun begitu Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum kad KISS dicetak, perlu dipastikan tiada nama pemohon yang bertindih, dokumen sokongan telah disertakan dan pengesahan borang telah dilakukan. Oleh yang demikian, proses ini akan mengambil sedikit masa yang menyumbang kepada kelewatan pengeluaran kad KISS.

    Setelah itu, cetakan kad KISS akan dibuat dan seterusnya dihantar ke Pejabat DUN atau Pejabat Penyelaras DUN atau Pejabat Exco Kebajikan untuk diserahkan kepada penama kad KISS yang berkenaan.

     

    Pengaktifan Kad KISS

    Bagi pemohon yang telah menerima kad KISS, kad KISS berkenaan perlu diaktifkan sebelum penggunaan dan pembelian dibuat di kedai-kedai panel berdaftar bagi Program KISS ini.

    Cara-cara pengaktifan kad boleh di rujuk pada lampiran yang disertakan di dalam surat kad KISS yang diterima.

    Kuota Penerima Kad KISS

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, tiada kuota khusus yang ditentukan di setiap DUN. Bilangan penerima Program KISS ini sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di dalam Belanjawan 2018 adalah sebanyak 30,000 orang rakyat Selangor.

    Pemberian kad KISS ini kepada penerima manfaat yang berkelayakan telah turut mengambilkira kepadatan penduduk, keluasan dan kemampuan sesebuah kawasan berdasarkan bilangan dan taraf ekonomi penduduk yang terdiri daripada golongan berkemampuan dan kurang atau tidak berkemampuan serta kedudukan mereka sama ada di bandar atau luar bandar.

     

     

    Serahan Kad KISS

    Sehingga 21 Mac 2018, sebanyak 20,081 kad KISS telah diserahkan kepada pemohon yang layak melalui Pejabat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN di seluruh Selangor. Ini menunjukkan bahawa sasaran Kerajaan Negeri untuk mendapatkan 30,000 orang penerima telah hampir dicapai hasil kerjasama padu, komitmen dan dedikasi para kakitangan Pejabat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN di seluruh Selangor.

    Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua ahli- ahli Yang Berhormat serta para kakitangan Pejabat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN yang sentiasa bersedia dan siap siaga dalam menerima kedatangan rakyat untuk mendapatkan maklumat, menerima borang permohonan dan menyaring permohonan yang diterima untuk dikemukakan kepada pihak Selcare Management Sdn Bhd bagi memastikan rakyat di DUN berkenaan tidak terlepas dalam mendapatkan manfaat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini.

     

    Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya mengambil maklum bahawa terdapat Pejabat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN masih belum menerima kad KISS kerana proses sebagaimana yang saya maklumkan sebentar tadi dan semakan yang lebih teliti di samping permohonan yang diterima adalah diluar jangkaan.

     

     

    Panel Kedai Berdaftar Program KISS

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sehingga 21 Mac 2018 sebanyak 235 buah kedai di seluruh Selangor telah berdaftar dengan program KISS ini yang terdiri daripada Kedai Serbaneka 99 Speedmart, kedai-kedai runcit tempatan, kedai Pusat Pakaian Hari-hari dan Pasaraya Giant.

    Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri Selangor amat berterima kasih kepada pihak yang sangat prihatin di atas isu-isu Program KISS ini yang mana ianya menunjukkan bahawa program ini sangat istimewa terutamanya kepada kaum ibu sekaligus dapat mengangkat martabat ibu dan wanita yang merupakan faktor penting dalam pembangunan masyarakat dan negeri. Memandangkan program ini mendapat sambutan yang luar biasa, maka Kerajaan Negeri sedang dalam penelitian untuk memperluaskan lagi manfaat ini kepada rakyat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.