Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

15) Kebajikan OKU

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membantu golongan OKU yang gagal mendapatkan bantuan Kebajikan?

    Sebagai sebuah negeri yang sentiasa prihatin terhadap keperluan golongan istimewa ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh disalurkan dan dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan.

    Melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Selangor, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3juta setahun melalui Program Intervensi Awal Kanak-kanak atau Early Intervention Programme (EIP) khusus bagi membantu golongan anak istimewa di Selangor mendapatkan perkhidmatan pendidikan, terapi dan pemulihan dalam memenuhi keperluan mereka. Antara program yang telah disediakan adalah seperti berikut :-

    i. Program Bantuan Kewangan Kepada Institusi EIP

    Program bantuan kewangan ini disediakan khusus kepada institusi atau pusat agensi yang menyediakan perkhidmatan terapi, pendidikan khas serta pemulihan kepada anak-anak istimewa. Bantuan ini akan disalurkan terus kepada institusi atau agensi berkenaan bagi memudahkan institusi / agensi menyediakan keperluan atau peralatan yang diperlukan dalam membantu perkembangan kendiri mereka dengan kadar nilai mengikut bilangan pelajar sebanyak RM200.00 seorang bagi setiap bulan selama 1 tahun.

    ii. Program Bantuan Khas Didik AnIS

    Program ini merupakan bantuan kewangan kepada ibu bapa yang mempunyai tanggungan anak OKU untuk kegunaan mereka sewaktu kecemasan sekaligus dapat mengurangkan kos sara hidup, kos pemulihan dan pendidikan yang ditanggung oleh ibu bapa/penjaga dengan had permohonan bagi setiap keluarga adalah berjumlah RM5,000.00 setahun serta tertakluk kepada kelulusan YB Exco. Bagi mendapatkan bantuan ini, ibu bapa yang berkenaan boleh membuat permohonan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) selaku pengendali program ini.

    iii. Program Pendidikan Bersama Cikgu AnIS

    Program ini disediakan bertujuan untuk melahirkan guru-guru yang berkemahiran dan berilmu dalam menguruskan dan mendidik golongan anak istimewa di taska-taska biasa. Program ini dapat membantu meringankan serta memudahkan ibu bapa menghantar anak istimewa mereka ke taska / pusat jagaan biasa tanpa risau kerana terdapat guru-guru taska berkenaan telah menerima latihan yang sewajarnya dalam mengendalikan anak-anak berkeperluan khas berkenaan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT). Program ini ditambah baik daripada program KISS sedia ada sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Pandemik Covid-19. Ibu tunggal yang mempunyai anak OKU (tanpa mengambil kira had umur anak OKU tersebut) dan memenuhi syarat-syarat lain yang telah ditetapkan dalam program ini, adalah layak untuk menerima manfaat KISS, RM200 setiap bulan bagi membeli barangan keperluan asas.

    Di samping itu, golongan istimewa ini juga berpeluang untuk menerima manfaat melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) OKU yang turut dikendalikan oleh YAWAS. Ahli SMUE OKU akan diberi baucer beli belah sebanyak RM100 yang boleh digunakan di pasaraya-pasaraya terpilih di kawasan mereka mengikut bulan kelahiran ahli SMUE OKU berkenaan.

    Sebagai makluman, mengikut data yang direkodkan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sehingga 15 Oktober 2020, jumlah warga OKU yang mendaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) adalah seramai 18,986 orang.

    Secara keseluruhannya, golongan istimewa di Selangor tidak diketepikan dan Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif yang bersesuaian untuk dimanfaatkan oleh golongan ini dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.