KEBAJIKAN ORANG KURANG UPAYA

125) KEBAJIKAN ORANG KURANG UPAYA

Tahun:

Sesi:

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan satu skim bantuan khas bagi membantu meningkatkan ekonomi OKU untuk berniaga atau berdikari?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai platform kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk meningkatkan potensi diri dalam meningkatkan ekonomi melalui perniagaan seterusnya dapat berdikari dan menyara diri sendiri dari terus bergantung harap kepada orang lain.

    Antara bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri adalah melalui Skim HIJRAH SELANGOR yang terbuka kepada semua golongan dan rakyat di Selangor yang berusia 18 hingga 60 tahun termasuk golongan OKU dengan syarat perlulah pemohon yang sedang menjalankan perniagaan kecil-kecilan serta mempunyai premis dan lesen perniagaan yang sah.

    Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor juga turut menyediakan beberapa program dan kemudahan bagi menyuntik semangat golongan OKU yang berpotensi untuk meningkat ekonomi mereka untuk terus berjaya menerusi bidang perniagaan. Antaranya adalah seperti berikut :-

    i. Geran Pelancaran

    Pemberian geran ini merupakan bantuan kewangan untuk memberikan galakan kepada kumpulan sasar Jabatan yang mempunyai minat dan potensi diri untuk maju dalam menceburi bidang perusahaan atau perniagaan kecil seterusnya dapat berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka. Geran ini membolehkan golongan OKU melancarkan rancangan jayadiri mereka agar dapat berdikari dengan usaha sendiri.

    ii. Pusat Latihan Perindustrian & Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor

    Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP) adalah sebuah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberikan perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya Fizikal melalui latihan vokasional serta pemulihan perubatan. Terdapat pelbagai latihan, program dan kemahiran yang disediakan untuk membantu golongan OKU mendapatkan kursus pra-vokasional dan vokasional seperti Rekaan Fesyen & Jahitan (MLVK), Elektrikal (MLVK), Elektronik, Elektrikal, Prostetik dan Ortotik, Pembuatan Kerusi Roda, Komputer, Lukisan, Jahitan, Membatik dan lain-lain.

    iii. Bengkel Daya Klang

    Bengkel ini dikhaskan untuk Orang Kurang Upaya yang tidak berdaya saing bagi mendapat pekerjaan di pasaran terbuka. Bengkel ini bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada OKU, mempertingkatkan tahap keupayaan, kebolehan, pengetahuan dan kemahiran warga kurang upaya serta memberi sumber pendapatan kepada warga kurang upaya dalam bidang jahitan, perkhidmatan am dan bakeri.

    Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan dan akan mempertimbangkan sekiranya terdapat cadangan atau pandangan yang bernas dalam membangunkan serta meningkat ekonomi golongan OKU dalam usaha untuk mendorong mereka memajukan diri sama ada dalam bidang perniagaan atau apa sahaja yang demi masa depan mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.