Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

203) Kebajikan Peniaga Di Kompleks Pkns Shah Alam

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri menerusi Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam membantu meringankan beban peniaga di Kompleks PKNS yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

    Antara usaha Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikatnya, PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) dalam membantu meringankan beban peniaga di Kompleks PKNS yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah seperti berikut :

    i) Rebat Sewaan

    Pemberian rebat pembayaran sewa daripada 10% sehingga 50% kepada para penyewa Kompleks PKNS Shah Alam (KPSA) berjumlah RM1.8 juta sejak    April 2020 sehingga September 2020 bergantung kepada jenis perniagaan. Pemberian rebat ini diberikan berikutan kesan dari krisis pandemik Covid-19 yang rata-rata menjejaskan ekonomi para peniaga.

    ii) Pengecualian pembayaran faedah lewat bayar

     PREC turut memberikan pengecualian pembayaran faedah lewat bayar dari bulan Jun 2020 sehingga Disember 2020.

    iii) Bazaarlokal

     PREC mewujudkan platform e-dagang iaitu Bazaarlokal untuk para peniaga melakukan bisnes secara dalam talian dan kos-kos pemasaran ditanggung oleh pihak PREC. PREC turut memberikan bimbingan asas untuk para peniaga berdaftar dengan Bazaarlokal. Setakat ini Bazaarlokal sudah mempunyai lebih 500 produk yang dimuatnaik dengan lebih 200 peniaga.

    iv) Aktiviti di Ruang Legar (Program Jom Beli)

    PREC menyediakan ruang bagi penganjuran program promosi di Ruang Legar KPSA di bawah program Jom Beli. PREC tidak mengenakan caj sewaan kepada para peniaga sebaliknya para peniaga hanya dikenakan caj minimum bagi kos-kos penyediaan seperti lesen dari pihak MBSA, pengawal keselamatan RELA, kelengkapan patuh SOP COVID-19, penyediaan booth, karpet, kerusi dan meja.

    v) Promosi di media sosial

    PREC turut membantu para penyewa dengan giat melakukan promosi melalui media sosial KPSA dan juga media sosial PREC.

    vi) Promosi di ruang-ruang iklan KPSA

     PREC turut melakukan promosi di ruang-ruang iklan di dalam bangunan KPSA iaitu secara paparan di 12 buah televisyen dan bunting.

Lampiran

Tiada Lampiran.