Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

118) KEBAJIKAN RAKYAT

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bandar Baru Bangi pesat membangun, namun dikelilingi oleh 6 buah kampung tradisi. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan ini dapat dirasai oleh penduduk 6 buah kampung tradisi ini?

    Bandar Baru Bangi merupakan sebuah bandar yang pesat membangun dengan pelbagai sektor perkhidmatan terdapat di bandar ini dan menjadi antara pusat tumpuan penduduk Negeri Selangor khususnya dan negara amnya.

    Namun, dalam kepesatan bandar yang membangun ini, pembangunan untuk enam (6) buah Kampung Tradisi yang mengelilingi bandar ini tidak wajar dipinggirkan. Kampung-kampung tersebut ialah seperti berikut:-

    1. Kampung Sungai Ramal Dalam
    2. Kampung Sungai Ramal Luar
    3. Kampung Bangi
    4. Kampung Bahagia Bangi
    5. Kampung Sungai Tangkas
    6. Kampung Teras Jernang

    Tanpa kewujudan Kampung-kampung Tradisi tersebut, Bandar Baru Bangi tidak mungkin membangun dengan pesat seperti sekarang. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri amat prihatin untuk memastikan pembangunan Bandar Baru Bangi ini turut dirasai oleh enam (6) buah Kampung Tradisi tersebut.

    Antara usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan turut dirasai oleh penduduk-penduduk Kampung-kampung Tradisi tersebut adalah dengan merancang dan melaksanakan projek pembangunan fizikal dan masyarakat.

    Pada tahun 2018, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM855,026.17 bagi kerja-kerja menaiktaraf/membaikpulih jalan/longkang manakala peruntukan sebanyak RM940,368.82 lagi bagi kerja-kerja menaiktaraf/menyelenggara kemudahan awam asas desa. Bagi projek MARRIS pula, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat menerima siling peruntukan sebanyak RM2,483,823.00 bagi tahun 2018 ini.  Peruntukan ini akan digunakan secara berhemah dan dengan adanya penyaluran peruntukan ini sedikit sebanyak ia dapat membantu memastikan Kampung-kampung Tradisi tidak tercicir dari pembangunan

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Negeri Selangor melalui program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Rakyat Negeri Selangor berhak berkongsi hasil kekayaan negeri. Hasil kekayaan ini diagihkan secara adil kepada rakyat melalui pelbagai program antaranya air percuma setiap bulan, Skim Kesihatan Wanita, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Insentif Perkahwinan Belia, Skim Peduli Sihat dan pelbagai lagi.

Lampiran

Tiada Lampiran.