Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

104) KEBAJIKAN WARGA EMAS

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf hidup dan kebajikan warga emas di Selangor?

    Jawapan ini akan dijawab bersekali dengan soalan no.112 dari Yang Berhormat Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar dari Meru bertajuk Kebajikan Warga Tua Dan Usia Emas dan soalan no.244 dari Yang Berhormat Puan Jamaliah Binti Jamaluddin dari Bandar Utama bertajuk Kebajikan Warga Tua Selangor.
    Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam mendepani cabaran menuju ke arah negara tua menjelang 2030 dengan menyediakan program-program, kemudahan dan bantuan agar masyarakat warga emas di Selangor melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dengan mengoptimumkan potensi diri serta dapat menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.
    Bantuan kebajikan yang diberikan kepada golongan warga emas di Selangor pada masa kini adalah Bantuan Orang Tua (BOT) dengan kadar RM350.00 sebulan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai bantuan dan sokongan kewangan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
    Begitu juga pemberian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang berbentuk bantuan khairat kematian sebanyak RM2,500.00 melalui Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) bagi mengurangkan beban ahli keluarga dalam pengurusan jenazah. Kerajaan Negeri juga sedang meneliti beberapa cadangan dan mekanisma pelaksanaan penambahbaikan menerusi skim ini agar ianya memberi manfaat kepada ahli SMUE semasa hidupnya.
    Keprihatinan terhadap golongan warga emas ini turut mendapat perhatian dan dizahirkan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti
    setempat seluruh Selangor secara kerjasama strategik melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang merupakan salah satu platform bagi mereka ini menjalankan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (development) kepada warga emas.
    JKM melalui Institusi Rumah Seri Kenangan (RSK) turut menyediakan perkhidmatan jagaan dan perlindungan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang boleh mengurus diri dan dhaif bagi menjamin kesejahteraan hidup golongan ini.
    Selain itu, perkhidmatan jagaan, rawatan dan perlindungan kepada warga emas pesakit melarat, uzur dan yang tidak memerlukan rawatan yang intensif turut disediakan melalui JKM iaitu di Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu. Berdasarkan rekod JKM, terdapat sebanyak 25 buah Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Selangor.
    Pada tahun ini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan dengan kerjasama JKM akan melaksanakan program ‘Town Hall : Mendepani Cabaran Warga Emas Menjelang Negara Tua 2030’ Peringkat Negeri Selangor berkonsepkan perkongsian idea bagi mencapai objektif berikut :
    (1) Sebagai satu platform bagi memberi peluang kepada para peserta iaitu pelbagai kumpulan warga emas, ahli akademik, aktivis sosial dan pegawai awam/swasta serta masyarakat awam untuk bertemu bagi membincangkan isu dan cadangan baru yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan; dan
    (2) Memberi ruang kepada semua peserta dan masyarakat untuk berganding bahu dan menyumbang secara positif bersama Kerajaan Negeri ke arah usaha masyarakat Selangor mendepani cabaran warga emas menjelang negara tua.

Lampiran

Tiada Lampiran.