Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

27) KEBAJIKAN WARGA EMAS

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan dan tindakan Kerajaan untuk golongan warga emas yang semakin bertambah?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor telah menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti. PAWE merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) melalui program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang telah ditambah baik dari pemberian khairat kematian kepada pemberian manfaat sebanyak RM100.00 setahun dalam bentuk baucer Jom Shopping kepada semua warga emas yang telah berdaftar dengan SMUE.

    Jika sebelum ini pemberian manfaat khairat diserahkan kepada 6% waris warga emas yang mendaftar. Namun setelah penambahbaikkan dilaksanakan, pemberian manfaat SMUE semasa hidup kini mensasarkan jumlah yang jauh lebih besar. Sehingga kini terdapat seramai 195,526 orang warga emas telah berdaftar. Jumlah ini dijangka akan meningkat selaras dengan pertambahan bilangan warga emas di Negeri Selangor.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedar bahawa bakal berhadapan dengan populasi warga emas yang melebar dengan pesat. Sehubungan itu, bagi memastikan tahap kehidupan warga emas lebih terjamin, pemaju bagi setiap projek pembangunan baru di setiap Pihak Berkuasa Tempatan perlu menyediakan ruang sekitar 1,200 kaki persegi yang akan dibangunkan sebagai Pusat Komuniti Warga Emas di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.