Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

301) KEBENARAN MERANCANG

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prosedur permohonan kebenaran merancang?

    Kebenaran Merancang adalah keperluan di bawah peruntukan Seksyen 19(1), Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) di mana setiap pemajuan yang hendak dimulakan/ dibina perlulah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Prosedur bagi permohonan Kebenaran Merancang (KM) di PBT adalah permohonan pemajuan dikemukakan kepada Unit Pusat Setempat (One Stop Centre) dan diproses oleh Jabatan Perancangan Pembangunan merujuk kepada Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) , Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan Am (2001) (Selangor), Rancangan Tempatan serta Dasar – dasar Perancangan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang diterima pakai oleh PBT Selangor.

     

    Setiap permohonan Kebenaran Merancang yang dikemukakan akan dibentangkan dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar/ Yang Dipertua untuk mendapatkan keputusan.

     

    Proses dan Prosedur Kebenaran Merancang adalah seperti berikut :

     

    1.                        Pengemukaan Permohonan Di Jabatan Pusat Setempat (OSC) (Borang A1 dan Dokumen Permohonan)

    Permohonan kebenaran merancang bagi sesuatu pemajuan hendaklah dikemukakan kepada Majlis melalui Jabatan Pusat Setempat dengan melengkapkan dan mengemukakan dokumen sebagaimana Borang A1 (Permohonan Kebenaran Merancang) Jadual Kedua Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan (Am). Pada masa kini permohonan dikemukakan secara online melalui website OSC Online.

     

     

    2.                        Ulasan Jabatan Teknikal

    Permohonan akan diedarkan kepada Jabatan Teknikal Luaran (JKR, JPS, TNB, SYABAS, SKMM, PTD dan lain-lain agensi yang berkaitan) dan Jabatan Teknikal Dalaman (Jabatan Kejuruteraan). Jabatan/agensi terlibat diberi tempoh 7 hari dari tarikh permohonan untuk mengemukakan maklum balas kepada Majlis.

     

    3.                        Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat

    Permohonan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada hari ke 30 dari tarikh permohonan di terima dan Mesyuarat Jawatankuasa akan memutuskan sama ada permohonan tersebut diluluskan/ diluluskan dengan syarat/ di tangguh/ ditolak. Pemohon akan dimaklumkan dalam tempoh 7 hari dari tarikh mesyuarat berhubung keputusan mesyuarat. Bagi permohonan yang diluluskan/diluluskan dengan syarat,

    4.                        Pembetulan Pelan

    Pemohon diberi tempoh 23 hari untuk membuat pembetulan ke atas pelan cadangan mengambil kira syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Teknikal. Pemohon dikehendaki mengembalikan semula pelan setelah pindaan dibuat sebagaimana yang diarah dalam tempoh yang ditetapkan atau tempoh yang telah dilanjutkan. Permohonan akan disifatkan telah ditarik balik jika pemohon tidak mengemukakan semula dalam tempoh masa ditetapkan atau dalam tempoh yang dilanjutkan.

     

    5.                        Kebenaran Merancang

    Kebenaran merancang akan diberi selepas pematuhan terhadap syarat- syarat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat Setempat yang melibatkan pembetulan ke atas pelan.

     

    6.                        Pelanjutan Tempoh Kebenaran Merancang

    Pemohon dikehendaki membuat permohonan baru jika kebenaran merancang yang diberi telah tamat tempohnya dan semasa memberi lanjutan tempoh kebenaran merancang, Majlis boleh mengenakan syarat- syarat baru yang difikirkan patut atau mengubah syarat yang dikenakan pada asalnya. Dalam hal ini jika pemohon tidak berpuas hati dengan syarat-syarat baru yang dikenakan, pemohon berhak membuat rayuan di bawah seksyen 23 dan seksyen 24(5) Akta 172 kepada Lembaga Rayuan mengenai syarat-syarat baru yang dikenakan. Jika pada masa itu

     

    pemajuan telah dimulakan, maka permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran merancang tidak perlu.

Lampiran

Tiada Lampiran.