Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

159) KEBERKESANAN JAWATANKUASA AUDIT DAN PENGURUSAN KORPORAT DI SETIAP PBT

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan keberkesanan Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat di setiap PBT demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan PBT?

    Setiap PBT dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Audit  dan Pengurusan Korporat (JKAPK) yang berperanan sebagai satu badan bebas bagi memastikan wujud sistem ‘check & balance’ dalam pengurusan kewangan korporat. JKAPK merupakan komponen penting dalam memastikan akauntabiliti dan pengurusan yang efektif. Setiap JKAPK dianggotai oleh sekurang-kurangnya 5 orang Ahli Majlis Bukan Eksekutif yang dipilih dalam Mesyuarat Penuh Majlis. Jawatankuasa tersebut akan melantik seorang pengerusi di kalangan mereka dan Unit Audit Dalam akan bertindak sebagai urus setia.

    Antara langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan keberkesanan JKAPK ialah :-

    MESYUARAT JKAPK

    1. JKAPK bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali setahun yang mana isuisu yang berbangkit daripada penemuan audit akan dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Mesyuarat akan memastikan tindakan pencegahan dan pembetulan diambil oleh pihak pengurusan supaya kelemahan – kelemahan berkaitan dapat diperbetulkan dan tidak berulang.

    PERANCANGAN AUDIT

    1. Sebelum Rancangan Tahunan Audit diluluskan secara rasmi oleh Ketua Jabatan, Juruaudit Dalam hendaklah membentangkan rancangan tersebut dalam mesyuarat JKAPK untuk persetujuan.

    PENEMUAN AUDIT

    1. Setiap penemuan audit akan dihantar terus kepada Auditi untuk tindakan pembetulan dan pihak Auditi perlu menghantar maklum balas dalam tempoh sebulan.
    2. Audit Susulan akan dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan selepas maklum balas diterima bagi memastikan pihak Auditi telah mengambil tindakan pembetulan.
    3. Mesyuarat JKAPK akan memastikan kelemahan / masalah yang berbangkit diambil tindakan dan diselesaikan serta memastikan kelemahan yang sama tidak berulang. Auditi juga perlu hadir bersama dalam Mesyuarat JKAPK untuk menjawab teguran Audit.

    PEMBENTANGAN DI MESYUARAT PENUH MAJLIS

    1. Isu-isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat JKAPK akan dibentangkan dalam Mesyuarat Penuh Majlis pada setiap suku tahun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.