Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

212) KEBERSIHAN PELABUHAN KLANG

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pelan tindakan segera dan jangka panjang oleh Majlis Perbandaran Klang dan semua pihak berkuasa berkenaan lain bagi menyelesaikan isu pembuangan sisa pepejal secara haram yang semakin meruncing di perairan Pelabuhan Klang terutama di sekitar Tanjung Harapan, Pelabuhan Utara (North Port).

    a) Majlis Perbandaran Klang hanya membuat kerja-kerja pembersihan di daratan sahaja tidak termasuk di kawasan perairan atau laut di sekitar Pelabuhan Klang. Itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

     

    Walau bagaimanapun, ‘outlet’ ke anak sungai dan parit-parit besar telah dipasang perangkap sampah bagi mengelakkan sampah daripada mengalir masuk ke laut.

     

    JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN NEGERI SELANGOR

     

    1. a) Untuk makluman Yang Berhormat, selain daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor merupakan salah satu agensi yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu pembuangan sisa pepejal secara haram yang semakin meruncing di perairan Pelabuhan Klang terutama di sekitar Tanjung Harapan, Pelabuhan Utara (North Port).

     

    Bagi mengekalkan kepentingan dan peranan Sungai Klang dari aspek pembangunan hartanah bagi Negeri Selangor khususnya di Royal Selangor Yacht Club, di Tanjung Harapan, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor sentiasa melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan perangkap sampah yang dipasang merentangi Sungai Klang secara berkala sepanjang tahun. Pembersihan sampah tersebut adalah bertujuan bagi kelancaran pengaliran air dari sistem saliran dalaman ke outlet serta mengelakkan masalah banjir berlaku.

     

    Sehubungan itu juga, JPS telah memperuntukkan sejumlah peruntukan dari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk penyediaan perangkap sampah

     

    (Trash Trap) di setiap saluran keluar utama sistem perparitan di dalam Daerah Klang.

     

    Bagi mengurangi masalah sampah sungai dan laut pula, JPS telah mengambil langkah-langkah pengurangan sampah seperti penyediaan Jentera Trash Skimmer. JPS telah membeli sebuah jentera pengaut sampah yang diletakkan di Sungai Klang dengan harga sebanyak RM2 juta khusus digunakan untuk mengangkat dan membersihkan sampah di dalam sungai. Trash Skimmer tersebut telah mula beroperasi pada Disember 2015 yang lalu dan masih digunakan sehingga kini. Selain itu juga, 5 buah perangkap sampah jenis Log Boom turut dipasang di beberapa tempat dalam Daerah Klang seperti di Sungai Kandis, Jalan Harper, Taman Sri Muda, Jalan Papan Pandamaran dan Sungai Sireh Kampung Raja Uda. Pemasangan perangkap sampah tersebut bertujuan untuk memerangkap dan menahan sampah-sampah dari mengalir keluar ke sungai/laut serta mengurangkan masalah pencemaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.