Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

75) KEGANASAN RUMAH TANGGA

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selangor merupakan negeri kes tertinggi keganasan rumah tangga. Selain dari tindakan penguatkuasaan undang-undang, apakah langkah yang diambil untuk membendung keganasan rumah tangga?

    Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor sentiasa prihatin terhadap kebajikan mangsa keganasan rumah tangga. Di antara tindakan-tindakan yang diambil bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    1. membantu mangsa keganasan rumah tangga bagi memfailkan permohonan Perintah Perlindungan Interim di mahkamah;
    2. mengadakan dan mengatur pengangkutan bagi mangsa ke kediaman alternatif/ tempat selamat/ tempat berlindung jika mangsa memerlukan;
    3. mengadakan dan menguruskan pengangkutan bagi mangsa ke hospital/ tempat kemudahan perubatan yang terdekat bagi rawatan kecederaan sekiranya diperlukan;
    4. memberi penerangan dan advokasi kepada mangsa tentang hak untuk mendapatkan perlindungan terhadap keganasan rumah tangga;
    5. menemani mangsa ke kediamannya untuk mengambil barang-barang kepunyaannya; dan
    6. menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kepada mangsa yang memerlukan.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri berpendapat, isu keganasan rumah tangga ini memerlukan penggemblengan tenaga dan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan ianya dapat dibendung. Selain daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri telah menjalin kerjasama erat dengan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (NGO) yang bergiat aktif dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dengan melaksanakan program kesedaran awam terhadap mangsa keganasan rumah tangga dan juga membantu pihak Kerajaan Negeri mewujudkan Komuniti Selamat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.