Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

68) KEKURANGAN BEKALAN AIR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah air bersih terawat dan rizab air dari tahun 2008 hingga 2013 berbanding permintaan?

    Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), dengan keluasan Negeri Selangor sebanyak 8,396 km dan taburan hujan tahunan sebanyak 2,190mm, jumlah air larian permukaan adalah sebanyak 6.38 billion meter padu setahun bersamaan dengan 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

    Di Negeri Selangor, terdapat tujuh (7) empangan utama yang membekalkan air untuk tujuan bekalan air. Sehingga hari ini, kesemua empangan di Negeri Selangor mempunyai kapasiti air untuk dirawat dan masih berada di tahap yang tidak membimbangkan.

    Terdapat  34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor yang beroperasi untuk merawat air terawat bagi dibekalkan kepada SYABAS. Kapasiti reka bentuk 34 loji adalah sebanyak 4,606 JLH. Keupayaan pengeluaran kesemua loji ini adalah sebanyak 4,832 JLH, namun jumlah air terawat yang boleh diagihkan oleh

    SYABAS kepada pengguna adalah berubah-ubah seperti berikut:-

    4371JLH 12 Mac 2012
    4411 JLH 19 Julai 2012
    4436 JLH 01 September 2012
    4546 JLH 22 Januari 2013
    4566 JLH 05 Mac 2013
    4661JLH 01 April 2013

    Manakala, purata jumlah air terawat yang dibilkan kepada pengguna setakat April 2013 adalah sebanyak 3013JLH.

    SYABAS mendakwa bahawa rizab air pada ketika ini adalah di bawah 1% berdasarkan kepada pengiraan pengeluaran purata semasa loji berbanding sebanyak 4700JLH berbanding kapasiti boleh agih sebanyak 4661JLH.

    Mengikut pengiraan Kerajaan Negeri Selangor, berdasarkan kepada keupayaan pengeluaran 34 Loji Rawatan Air sebanyak 4832JLH berbanding 4661 keupayaan boleh agih SYABAS,  rizab air yang ada adalah dianggarkan sebanyak 3.5%.

    Sekiranya dibandingkan kapasiti boleh agih sebanyak 4661 JLH  dengan jumlah purata air yang dibilkan kepada pengguna sebanyak 3013JLH (mengikut rekod pada April 2013), dianggarkan sebanyak 1658JLH atau 35% air terawat hilang sebagai air tidak berhasil (NRW). Justeru itu, sekiranya masalah NRW tidak diatasi. Maka sebanyak mana jua air terawat dari mana-mana sumber yang dimasukkan ke dalam sistem agihan, sebanyak 35% akan hilang sebagai NRW sedangkan kos setiap meter padu air tersebut telah pun dikira dan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif.

Lampiran

Tiada Lampiran.