Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

86) Kelangsungan Ekonomi Anak Muda

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pelbagai usaha telah dijalankan Kerajaan Negeri untuk membantu anak muda Selangor bagi menangani isu kelangsungan (survival) ekonomi anak muda. Adakah terdapat apa-apa kajian / laporan mengenai keberkesanan / KPI daripada usaha-usaha tersebut?

    Sebagaimana kita semua sedia maklum, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan anak muda dan seterusnya meningkatkan tahap ekonomi mereka bagi memastikan kelangsungan hidup golongan ini. Antara inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan bagi membantu golongan anak muda ini termasuklah program Selangor e-Kitchen dan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) yang menggalakkan anak muda untuk menceburi bidang gig ekonomi yang menjadi trend kepada anak-anak muda untuk menambah pendapatan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Karnival Kerjaya yang diadakan pada setiap tahun sebagai satu platform bagi mempertemukan anak-anak muda ini dengan majikan-majikan yang berpotensi untuk mengambil mereka bekerja. Namun begitu, Karnival Kerjaya ini terpaksa ditangguhkan dulu pelaksanaannya pada tahun ini disebabkan pandemik COVID-19. Setakat ini Kerajaan Negeri tidak ada melaksanakan sebarang kajian bagi mengukur sejauh mana keberkesanan program-program ini dalam membantu kehidupan golongan muda. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda sentiasa mengadakan sesi brainstoming bersama anak-anak muda ini serta pakar akademik bagi mendapatkan input mengenai keperluan anak-anak muda ini yang memerlukan peranan Kerajaan Negeri melalui Bengkel Penggubalan Dasar Belia Selangor 2020 pada 25-27 September yang lalu yang melibatkan wakil-wakil belia dari pelbagai bidang dan latar belakang.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda ada menjalankan Kajian Profail dan Pemetaan Belia Negeri Selangor. Kajian ini bertujuan untuk membina dan mewujudkan penanda aras dalam mengukur tahap kesejahteraan hidup belia Selangor dan pembentukan pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup belia Selangor. Melalui kajian ini, sebanyak 13 domain digunakan bagi mengukur dan menganalisa tahap keyakinan dan kepercayaan belia Selangor bagi membantu kerajaan Negeri untuk membentuk pangkalan data spesifik bagi tujuan perancangan polisi dan aktiviti yang bersesuaian dan bertepatan dengan belia di Selangor.

    Rujuk Lampiran 1 dan Lampiran 2 yang diambil daripada laporan kemajuan berkenaan kajian pengetahuan, sikap, dan penerimaan terhadap Covid-19 dalam kalangan penduduk di Selangor semasa tempoh kawalan pergerakan keselamatan oleh Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara.

Lampiran

Tiada Lampiran.