Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

132) KELEMBAPAN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kesan langsung kepada Selangor akibat kelembapan pertumbuhan ekonomi negara yang mencatatkan penurunan 6 suku tahun berturut-turut?

    Walaupun berdepan dengan kelembapan pertumbuhan beberapa rakan dagang utama ekoran beberapa faktor termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia adalah antara kumpulan kecil negara di rantau ini yang menikmati pertumbuhan suku kedua yang lebih pantas berbanding suku pertama. Sebagai sebuah negara perdagangan yang kecil, ekonomi Malaysia terdedah kepada keadaan ekonomi dunia. Oleh yang demikian, kebergantungan kepada sektor domestik untuk memacu pertumbuhan ekonomi adalah amat penting.

    Negeri Selangor sebagai negeri penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara tidak terkecuali mendapat tempias daripada kelembapan pertumbuhan di peringkat global dan nasional. Walau bagaimanapun, sumbangan sebanyak 23.7 peratus Selangor kepada Malaysia pada tahun 2018 membuktikan kestabilan ekonomi Selangor melalui pengukuhan aspek tadbir urus dan polisi yang efektif. Pertumbuhan ekonomi Selangor juga mencatatkan peratusan melebihi kadar pertumbuhan nasional iaitu pada kadar 6.8 peratus berbanding 4.7 peratus. Nilai ditambah aktiviti ekonomi memperlihatkan peningkatan kepada RM322.6 bilion berbanding RM301.9 bilion pada 2017.

    Prestasi pelaburan di Selangor juga terus mengukuh dibuktikan menerusi kelulusan jumlah pelaburan sebanyak RM18.9 bilion yang membabitkan RM8.1 bilion pelaburan domestik dan RM10.8 bilion pelaburan asing pada tahun 2018 dengan pelabur utama daripada negara seperti Japan, China dan Singapura yang dijangka menjana 26,492 peluang pekerjaan baharu. Yang terkini, Selangor mengekalkan reputasi sebagai negeri pilihan utama pelabur di negara ini apabila merekodkan pelaburan RM16.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, iaitu dua kali ganda berbanding tempoh masa sama pada tahun 2018 yang hanya mencatatkan sebanyak RM8.3 bilion mengikut statistik dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

    Kesemua data ini menunjukkan kestabilan yang dikecapi oleh Negeri Selangor hasil dari kecekapan tadbir urus bagi mengatasi ancaman luar yang boleh mengganggu gugat prestasi ekonomi dan kemakmuran negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak akan terleka dan akan terus memacu pembangunan negeri bagi memastikan pertumbuhan pada kadar positif dan memberangsangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.