KELESTARIAN ALAM SEKITAR

124) KELESTARIAN ALAM SEKITAR

Tahun:

Sesi:

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang bakal Kerajaan Negeri lakukan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar di sini?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar di negeri ini. Antaranya dengan memulihara kepelbagaian biologi dan hutan simpan kekal serta pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air serta flora dan fauna.

    Sehingga kini, kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 di Negeri Selangor adalah berjumlah ±250,207.52 ha. Ini adalah bersamaan dengan 31.7% daripada keluasan tanah negeri. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di Negeri Selangor dengan mengenalpasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya mempunyai kepentingan nasional seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya.

    Negeri Selangor juga merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam prosedur penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

    Pelbagai program dan aktiviti telah dan akan dilaksanakan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor; PERHILITAN Selangor; Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor. Antaranya adalah seperti berikut:

    1. Program Pembangunan Pengukuhan Sumber Hutan;
    2. Program Pemuliharaan dan Kelestarian Alam Sekitar;
    3. Central Forest Spine (CFS);
    4. Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Kawasan Hutan Terosot dan Kawasan Hutan Paya Laut (Penanaman dan Rawatan);
    5. Program Pembersihan Sungai dan Pantai;
    6. Program Pemuliharaan Habitat Kelip-kelip;
    7. Hari Alam Sekitar Sedunia;
    8. Karnival Hari Tapir Sedunia; dan
    9. Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.