Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

117) KEMAJUAN PERLAKSANAAN ANJUNG UTARA

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kemajuan perlaksanaan gugusan bagi anjung utara?

    Terdapat dua (2) kluster yang terlibat di bahagian utara Selangor iaitu Kluster Pertanian dan Kluster Eko-Pelancongan merangkumi daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Bagi Kluster Pertanian yang diselaraskan oleh Seksyen Sektoral, UPEN, satu (1) Jawatankuasa Teknikal telah diwujudkan bagi membincangkan dengan lebih lanjut pelan tindakan yang akan dilaksanakan di daerah terlibat. Antara perancangan di gugusan tersebut adalah meningkatkan pengeluaran tanaman bagi makanan ternakan seperti bijian jagung serta meneroka tanaman baharu bagi makanan ternakan seperti sorghum HBG seluas 6 hektar di Sg. Panjang, Sabak Bernam bagi mengurangkan bilangan import makanan ternakan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga merancang untuk memperkenalkan projek tanaman roselle dan projek ladang kontrak di atas tanah seluas 100 ekar di Sg. Ayer Tawar Sabak Bernam bagi tujuan pasaran tempatan dan eksport. Di samping itu juga, Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperkenalkan penanaman Lemon Myrtle di Sg. Tengi, Kuala Selangor oleh pihak swasta di atas tanah berkeluasan 120 ekar yang merupakan projek pertama seumpamanya di Malaysia dan terbesar yang pernah diberi kebenaran.

    Bagi Kluster Eko-pelancongan di Hulu Selangor pula, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT), UPEN selaku penyelaras kluster telah mewujudkan satu (1) jawatankuasa teknikal bertujuan untuk merangka dasar dan perancangan berkaitan eko-pelancongan di peringkat negeri. Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah melancarkan Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan perkhidmatan industri pelancongan negeri terutama produk-produk di dalam kluster eko pelancongan. Program yang telah dirasmikan pada 8 Julai 2019 bertempat di Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu ini mengandungi empat (4) Projek Perintis (Pilot Project) iaitu:

    • Projek Perintis P3S Inap Dusun;
    • Projek Perintis P3S Sukan Lasak;
    • Projek Perintis P3S Jeti & Bot; dan
    • Projek Perintis P3S Aktiviti Penginapan Komersial di Bangunan Kediaman.

Lampiran

Tiada Lampiran.