Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

71) KEMELESETAN DAN KEGAWATAN EKONOMI SEDUNIA

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah khusus yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk menangani krisis kegawatan dan kemelesetan ekonomi seperti yang berlaku sekarang?

    Kerajaan Negeri melalui Bajet 2009 telah menggariskan lima (5) strategi khusus bagi memastikan kestabilan ekonomi Negeri Selangor seterusnya menangani krisis kegawatan dan kemelesetan ekonomi seperti yang berlaku sekarang. Lima (5) strategi tersebut ialah:

                Pertama     : Merakyatkan ekonomi Selangor (MES)

    Antara program MES yang telah dilaksanakan bagi Fasa 1 termasuklah program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Bekalan Air Percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Bantuan Warga Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang .

    Selain itu, terdapat beberapa program MES yang akan dilaksanakan secara berfasa khusus untuk golongan berpendapatan rendah termasuklah caruman Takaful bagi OKU/anak yatim, bantuan kepada peniaga muda; bimbingan perniagaan kepada belia, bantuan anak ke nurseri RM75 sebulan/orang, bantuan anak pra sekolah RM50 sebulan/orang, bantuan mendirikan rumah tangga, elaun ibu tunggal, elaun khas suri rumah dan bantuan memiliki kediaman.

    Menerusi program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dijangka dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi krisis ekonomi global.

     

              Kedua : Mempertingkat hasil pendapatan negeri

    Kerajaan Negeri juga berusaha untuk mempertingkatkan hasil pendapatan negeri menerusi peningkatan royalti bahan batuan. Kerajaan Negeri menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) yang beroperasi sebagai syarikat kerajaan yang memberi penumpuan pada aktiviti perniagaan pasir. Selain itu, bagi meningkatkan pendapatan, Kerajaan Negeri akan membuat Kajian Semula Kadar Caj Abstraksi Air Mentah, yang selaras dengan kenaikan kadar tarif air berawat. Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Perlesenan Bahan Pencemar (Effluent Discharge) dan perlaksanaan Konsep “Let Polluters Pay!” sebagai satu usaha menangani pencemaran dan dalam masa yang sama memberi hasil kepada Kerajaan Negeri.  

                Ketiga : Memperkasa modal insan

    Strategi ketiga dalam perancangan Bajet  2009, iaitu usaha Kerajaan Negeri bagi membangunkan modal insan. Kerajaan Negeri akan menyediakan peluang pendidikan dan juga latihan kepada rakyat Selangor sebagai satu usaha untuk menghadapi krisis ekonomi di mana rakyat boleh berdikari dan menyiapkan diri untuk menceburi bidang perniagaan ataupun sektor-sektor lain seperti pertanian dan sebagainya.

               Keempat : Menguruskan perbelanjaan dengan cekap

    Menerusi pengurusan perbelanjaan yang cekap, Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan budaya perbelanjaan berhemat dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih berhati-hati berdasarkan  prinsip value for money bagi mengelakkan berlakunya pembaziran dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

    Kelima  :  Memantapkan pembangunan negeri Selangor

    Walaupun krisis ekonomi melanda, pembangunan negeri Selangor tetap diteruskan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 710 juta bagi projek-projek pembangunan. Ini bagi memastikan ekonomi Negeri Selangor dapat terus dijana dan memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Selangor khususnya.

    Kerajaan Negeri Selangor juga sedar bahawa sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada sektor perindustrian dan pembuatan, ekonomi negeri Selangor sangat sensitif kepada kesan kemelesetan ekonomi global. Kemelesetan ekonomi yang sedan gberlaku sekarang telah menyebabkan sebahagian rakyat hilang pekerjaan. Lantaran itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja Negeri Selangor yang dianggotai oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Jawatankuasa ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai segala bentuk bantuan yang disediakan oleh jabatan/ agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta kaedah pengagihannya kepada rakyat. Ia melibatkan jabatan/ agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan agensi-agensi latihan.

Lampiran

Tiada Lampiran.