Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

11) KEMISKINAN BANDAR WARGA SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan kemiskinan warga kota?

    Kemiskinan merupakan isu global yang kompleks serta perlu dilihat dari pelbagai sudut dan dimensi. Menyedari isu kemiskinan yang dilihat masih membebani hidup rakyat, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Bukan sahaja penyumbang utama kepada KDNK negara, Negeri Selangor sentiasa terkehadapan dan menjadi peneraju dalam kalangan negeri-negeri lain dalam menyediakan inisiatif-inisiatif yang berpaksikan rakyat sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan.

    Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Namun begitu, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Negeri Selangor serta tidak menfokuskan golongan miskin bandar sahaja.

    Antara rancangan dan inisiatif sedia ada Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Terdiri daripada empat puluh dua (42) program, Program- program IPR merupakan usaha keras Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Antara Program-program IPR adalah seperti Rumah Selangorku, Skim DanaSel, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Skim Peduli Sihat, Program Dialisis Rakyat, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS), Program Peduli Siswa, Biasiswa Selangor serta pelbagai lagi. Semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri ini telah memperlihatkan keberkesanan yang amat positif dalam menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.