Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

60) KEMISKINAN BANDAR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tafsiran kemiskinan bandar menurut perspektif Kerajaan Negeri Selangor?

    Kemiskinan bandar dicorakkan oleh pelbagai kekurangan yang ketara dari pelbagai aspek/dimensi. Secara umumnya, kemiskinan bandar boleh didefinisikan sebagai individu atau sesebuah isi rumah yang miskin dari segi kewangan serta pelbagai faktor lain merangkumi aspek kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

    Dari aspek kewangan, individu atau sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai miskin bandar berdasarkan kepada ketidakcukupan atau ketidakstabilan pendapatan isi rumah, iaitu sama ada individu atau sesebuah isi rumah tersebut berpendapatan bulanan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ATAU berpendapatan bulanan melebihi PGK, tetapi tidak berkemampuan untuk menampung kos perbelanjaan bagi keperluan asas.

     

    Selain itu, dari aspek/faktor kesihatan pula, ia dilihat melalui petunjuk seperti jarak ke hospital/klinik awam, penyediaan kemudahan kesihatan, kemudahan pusat kesihatan bergerak serta tahap kesihatan seisi rumah (OKU dan dijangkiti penyakit disebabkan serangga). Manakala dari aspek pendidikan pula, indikator seperti tahap pendidikan dan tempoh persekolahan dikenalpasti. Bagi aspek taraf kehidupan pula, kemiskinan turut dilihat di dalam skop yang lebih luas meliputi keadaan fizikal rumah, keadaan fizikal persekitaran, kemudahan pengangkutan, aspek terhadap pengangkutan awam, keperluan seperti peralatan memasak, peti sejuk dan televisyen, kemudahan telefon/internet serta kebarangkalian kepada persekitaran tidak selamat (dadah, pecah rumah dan gangsterisme). Dengan itu, SIAPA yang miskin dan MENGAPA berlakunya kemiskinan tersebut serta tahap keparahan kemiskinan isi rumah berkaitan dapat dikenalpasti secara jelas.

    Ini dapat merumuskan bahawa kemiskinan bandar adalah bersifat multi-dimensi yang mana faktor penyebab kemiskinan boleh dilihat dari segi kewangan, kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

Lampiran

Tiada Lampiran.