Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

30) KEMPEN BEBAS PLASTIK

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah statistik terkini berkenaan kempen pengurangan kegunaan plastik sejak tahun 2008?

    Kerajaan Negeri telah mengambil langkah mengadakan larangan untuk memberikan beg plastik secara percuma dan larangan penggunaan polisterina pada setiap hari bermula 1 Januari 2017. Kempen yang diadakan ini adalah bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Menerusi kempen ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam siri promosi kempen dan program-program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuklah memperkasakan budaya untuk membawa beg sendiri ketika berbelanja.

    Pada ketika ini, tiada maklumat menyeluruh mengenai statistik kempen pengurangan penggunaan plastik. Walau bagaimanapun, mulai 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah untuk menambahbaik mekanisma pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor bagi mendapatkan data yang menyeluruh mengenai statistik penggunaan dan kutipan caj beg plastik melalui pelaksanaan program tersebut. Jumlah kutipan dan maklumat bilangan penggunaan beg plastik akan diserahkan oleh premis-premis perniagaan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Jumlah kutipan terkumpul tersebut seterusnya disalur ke Akaun Tabung Amanah Kerajaan Negeri Selangor dan Akaun Tabung Amanah yang ditetapkan di PBT masing-masing bagi tujuan program-program berkaitan alam sekitar di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.