Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

58) KEMPEN BEBAS PLASTIK

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kos Kerajaan Negeri dalam program bebas plastik #Bebasstrawplastik bagi tujuan memelihara alam sekitar?

    Kerajaan Negeri telah menganjurkan pelbagai program berkaitan Kempen Bebas Plastik dan kesedaran alam sekitar melalui pelbagai agensi kerajaan termasuklah persatuan/NGO dan dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pelaksanaan di seluruh negeri Selangor. Antara program yang dilaksanakan di setiap PBT termasuklah Karnival Jelajah Kepenggunaan dan Program Bazar Ramadhan Mampan yang fokus utamanya adalah bagi mempromosi dan mempergiat Kempen Bebas Plastik serta kempen-kempen kepenggunaan dan kempen berkaitan alam sekitar yang lain. Pihak PBT juga giat menjalankan promosi secara berterusan melalui hebahan kempen melalui siaran digital, papan iklan (billboard), kain rentang dan gegantung di sekitar kawasan pentadbiran PBT. Jumlah pelaksanaan program-program dengan kerjasama ini adalah sebanyak RM456,000.00 yang disalurkan kepada 12 PBT di seluruh negeri Selangor.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui pihak PBT turut melaksanakan program-program berkaitan alam sekitar di peringkat PBT masing-masing seperti Program Hari Pembersihan Pantai, Karnival Alam Sekitar Sambutan Hari Sungai Sedunia Dan Gotong Royong Pembersihan Sungai, Program Bank Kitar Semula Di Sekolah, Program Ecobrick – Jalur Gemilang, Program Kesedaran Dan Taklimat 3R, dan Kempen Kutipan Dan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai.

    Pada masa yang sama, pihak Kerajaan Negeri juga telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor (KPDNHEP), pihak sekolah, persatuan / NGO dan Gerakan Pengguna Daerah di Negeri Selangor bagi pelaksanaan program-program berkaitan hal ehwal pengguna dan alam sekitar termasuklah program Karnival Kepenggunaan Siswa Selangor 2019 dan Program Kesedaran Kepenggunaan & ‘No Straw’ dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20,000.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.