Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

19) KEMPEN BEBAS PLASTIK

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bagaimana sambutan peniaga terhadap kempen bebas plastik.

    Kempen Bebas Plastik telah dilaksanakan selama 7 hari seminggu di seluruh Negeri Selangor bermula 1 Januari 2017 berbanding hanya setiap hari Sabtu Sehubungan itu, semua jenis perniagaan di Negeri Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik “single use” secara percuma dan menghentikan penggunaan polistirena di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

    Kempen ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak peniaga terutamanya peniaga-peniaga pasaraya besar, peruncit dan pengusaha makanan. Walaupun pada mulanya terdapat sesetengah peniaga tidak mematuhi arahan untuk mengenakan RM0.20 sen kerana takut kehilangan pelanggan, namun dengan kerjasama dan pemantauan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), peniaga telah mula bekerjasama dalam pelaksanaan Kempen Bebas Plastik.

    Perkara ini dapat dilihat apabila para peniaga memainkan peranan mereka dalam mempromosikan Kempen Bebas Plastik dengan meletakkan notis pemberitahuan hari tanpa beg plastik dan mengenakan RM0.20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan. Selain itu, terdapat beberapa PBT seperti MBSA dan MPSJ yang telah menjalinkan usahasama dengan beberapa buah syarikat swasta dalam membantu pelaksanaan dan promosi Kempen ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.