Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

68) KEMPEN BEBAS PLASTIK DAN POLISTIRENA SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran "sifar beg plastik" sejajar dengan "Road Map Zero Single-Use Plastic 2018-2030" yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)?

    Rancangan Kerajaan Negeri bagi mencapai sasaran “sifar beg plastik” adalah selaras dengan pelan tindakan yang digariskan di dalam Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober 2018. Dasar ini menggariskan bahawa penggunaan “single-use plastic” akan diharamkan sepenuhnya menjelang tahun 2030.
    Kerajaan Negeri melalui kempen #Bebasplastik pada masa ini mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Caj ini dikenakan kepada peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan yang menyediakan beg plastik khususnya dalam skala yang besar kepada pengguna, seperti di pasar raya, super mart, pasar raya mini dan sebagainya.
    Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi yang berkaitan bagi menjalankan aktiviti dan program dalam menyokong dan melaksanakan dasar ini.
    Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri turut akan berusaha mengambil langkah awal untuk melaksanakan pengharaman beg plastik ini pada tahun 2025, namun bergantung kepada kesediaan pihak pembekal seperti di kilang-kilang untuk menghasilkan bahan atau medium gantian kepada beg plastik sedia ada kepada pasaran. Cadangan penggantian penggunaan beg plastik ini termasuklah menggunakan bahan biodegradable plastic, beg kitar semula dan beg kertas.

Lampiran

Tiada Lampiran.