Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

134) KEMPEN BEBAS STRAW PLASTIK

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah mekanisme penilaian keberkesanan Kempen Bebas Straw Plastik setakat bulan Oktober 2019?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan larangan penyediaan straw plastik secara automatic atau ‘default’ di premis-premis makanan dan minuman di seluruh Negeri Selangor bermula 1 Julai 2019. Larangan ini adalah bagi tujuan memberi kesedaran dan pendidikan terhadap orang ramai mengenai bahaya penggunaan plastik khususnya plastik sekali guna yang dapat memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

    Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkasa dan mempromosikan kempen ini termasuklah pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, pihak institusi pendidikan dan persatuan/NGO. Pelbagai program dan inisiatif kesedaran telah diadakan termasuklah penganjuran program-program karnival kepenggunaan, program ‘roadshow’, dan pengedaran bahan-bahan promosi dengan kerjasama pelbagai pihak media yang bertujuan bagi memberikan maklumat dan pendidikan kepada orang awam mengenai polisi-polisi dan saranan kerajaan Negeri termasuklah larangan penggunaan straw plastik dan kempen-kempen kepenggunaan yang lain. Pihak PBT juga telah menyediakan iklan berbentuk gegantung (bunting), kain rentang dan papan iklan bagi memberi pendidikan dan kesedaran terhadap orang ramai berkaitan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

    Walau bagaimanapun, kempen yang dilancarkan ini adalah baru bermula dan masih dalam fasa pengenalan bagi tujuan pendidikan dan kesedaran orang awam. Kempen ini merupakan suatu kempen jangkamasa panjang dalam menuju sebuah negeri sifar penggunaan plastik sekali guna, selaras dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030 yang telah dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 10 Oktober 2018 yang menggariskan dasar yang seragam ke arah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna termasuklah straw plastik.

Lampiran

Tiada Lampiran.