Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

73) KEMPEN KESEDARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Menghadapi situasi Covid-19 semakin serius, bagaimana Kerajaan Selangor dapat terus mempromosikan atau menganjurkan beberapa aktiviti perlindungan alam sekitar secara dalam talian atau bagaimana boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan Pertanyaan Bertulis No. 127 daripada Yang Berhormat Taman Templer.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, meskipun situasi penularan Covid-19 semakin membimbangkan, aktiviti Communication, Education and Public Awareness (CEPA) mengenai perlindungan alam sekitar dalam kalangan masyarakat tetap diteruskan namun ia dilaksanakan mengikut norma-norma baharu. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor masih melaksanakan program dan aktiviti perlindungan alam sekitar tetapi dalam skala yang kecil antaranya seperti Program Pembersihan Pantai Negeri Selangor, Friends of River dan Program Tanam Pokok Dalam Mukim.

    Selain itu, JAS mengambil beberapa langkah untuk mendekati golongan sasar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa iaitu seperti berikut :

    (i) Majlis Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2020 Peringkat Negeri Selangor akan dilaksanakan pada 10 November 2020 secara fizikal melibatkan kapasiti peserta yang tidak melebihi 20 orang dengan pematuhan ketat terhadap SOP yang berkuatkuasa, di samping ia akan dilaksanakan secara atas talian menerusi Facebook Live JAS;

    (ii) Promosi dan hebahan mengenai Program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (BEE) Peringkat Negeri Selangor pada 23 September hingga 21 Oktober 2020 dilaksanakan secara e-poster dan montaj di platform media sosial;

    (iii) Pertandingan bertemakan alam sekitar yang melibatkan penyertaan orang ramai dilaksanakan secara atas talian;

    (iv) Seminar, kolokium dan ceramah Environment Talk mengenai pengurusan alam sekitar dilaksanakan menerusi aplikasi “webinar”;

    (v) Promosi Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Sesi 2020/2021 dilaksanakan secara maya (virtual); dan

    (vi) Program-program CEPA turut dipromosi melalui radio tempatan iaitu Selangor.fm. mengikut tema-tema tertentu seperti kesedaran mengenai penipisan lapisan ozon, pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (BEE) daripada isi rumah, larangan pembakaran terbuka dan larangan penggunaan plastik sekali guna (single use plastic).

Lampiran

Tiada Lampiran.