Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

17) KEMPEN KURANG PENGGUNAAN BEG PLASTIK

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah beg plastik yang dapat dikurangkan sehingga Mac 2012?

    Kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ ini telah mula diperkenalkan di Selangor pada tahun 2010. Objektif kempen ini secara tidak langsung adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar. Kami berharap melalui langkah permulaan ini, rakyat Negeri Selangor juga dapat mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang tidak mesra alam seperti bekas makanan polisterin, botol air plastik dan sebagainya.

    Selepas 3 bulan kempen ini dijalankan sebanyak 54 pengusaha pasar raya telah menandatangani deklarasi dengan Kerajaan Negeri dan sekurang-kurangnya 2 juta beg plastik juga telah dijimatkan. Mengikut anggaran dan laporan yang diterima daripada pengusaha-pengusaha, lebih dari 5 juta beg plastik telah berjaya dikurangkan pada tahun pertama kempen ini dijalankan.

    Pada hari ini, Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan penglibatan hampir 100 peruncit di seluruh Negeri Selangor termasuk syarikat-syarikat besar yang mempunyai rangkaian cawangan di seluruh negeri, pusat membeli-belah, kedaikedai secara individu dan juga restoran-restoran.

    Caj RM0.20 yang dikenakan bagi setiap beg plastik disalurkan kepada badanbadan kebajikan dan NGO yang ditentukan oleh pengusaha pasar raya sebagai contoh : Aeon Co. (M) Bhd. telah mengutip sebanyak RM25,000 dalam masa dua bulan selepas kempen ini diperkenalkan dan kutipan tersebut telah disalurkan kepada program penanaman pokok di Selangor, manakala IKEA telah menyumbangkan hasil kutipan mereka kepada Malaysian Nature Society (MNS).

    Pada tahun 2011, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ di peringkat negara di mana kempen tersebut turut melibatkan bayaran 20 sen untuk beg plastik pada setiap hari Sabtu dan sekali gus kempen ini telah diambil alih oleh Kerajaan Pusat.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih lagi memantau dan bekerjasama dengan pengusaha pasar raya yang terlibat di Negeri Selangor. Data terkini pengurangan beg plastik dan jumlah kutipan RM0.20 bagi kempen ini masih di dalam proses pengumpulan data daripada pengusaha pasar raya yang terlibat dan akan dijawab secara bertulis secepat mungkin sejurus data tersebut diperoleh.

Lampiran

Tiada Lampiran.