Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

167) KEMPEN KURANGKAN PENGGUNAAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. 70% rakyat Selangor guna air lebih dari yang sepatutnya. Apakah langkah yang telah diambil mengatasinya?

    Kenyataan bahawa 70% rakyat Selangor guna air lebih dari yang sepatutnya adalah kurang tepat. Penggunaan air yang lebih ini meliputi seluruh penduduk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Berdasarkan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), penggunaan per kapita nasional untuk penggunaan domestik bagi Semenanjung Malaysia bagi tahun 2012 adalah 212 liter/orang/hari. Manakala bagi Negeri Selangor, penggunaan domestik adalah sebanyak 235 liter/orang/hari.

    Namun demikian, jika merujuk kepada data penggunaan per sambungan (per pintu rumah) dari tahun 2009 hingga 2012 yang dikeluarkan Malaysian Water Industry Guide (penerbitan Persatuan Air Malaysia dengan kerjasama

    Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, JBA Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) menunjukkan penurunan. Pada tahun 2008, penggunaan per sambungan sebulan adalah 34.8meter padu berbanding sebelumnya ialah 35.0m.padu sebulan pada tahun 2007. Selepas 2008 trend terus menurun kepada 34.5meter padu (2009), 34.0m.padu (2010) dan 32.8m.padu (2011).

    Dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan air ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mencadangkan supaya surcaj digunakan.  Walaupun cadangan tersebut baik, namun pelaksanaannya akan diperhalus oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Selain langkah mengenakan surcaj, Kerajaan Negeri Selangor juga akan menggalakkan pengguna melaksanakan pemasangan alat-alat penjimatan air (Water Saving Devices (WSD)) yang dapat mengurangkan penggunaan air secara automatik. WSD adalah termasuk sistem penjimatan pancuran air (heads, handsets dan sistem kawalan), peralatan paip (heads, sinki, bibs and mixers) dan sistem tandas (sistem dwi-siram, tangki curahan dan bidet) serta mesin basuh dan mesin membasuh pinggan.

    Kempen-kempen yang akan dibuat adalah usaha-usaha bagi memberi kesedaran kepada pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan memastikan tiada unsur-unsur pembaziran dalam penggunaan harian. Kempenkempen ini akan dijalankan melalui media massa.

    Sekiranya penggunaan domestik di Negeri Selangor sebanyak 235 liter/orang/hari dapat dijimatkan sebanyak 20% daripada kadar penggunaan air semasa, ia boleh memberikan penjimatan yang dianggarkan sebanyak  850 JLH pada tahun 2020 daripada jumlah permintaan air sedia ada. Usaha-usaha lebih giat akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan penggunaan air per kapita.

Lampiran

Tiada Lampiran.