Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

4) KENAIKAN CAJ PARKIR MBSA

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kenaikan caj ini wajar?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,  pengurusan tempat letak kereta di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diuruskan oleh syarikat konsesi iaitu Suasa Efektif Sdn. Bhd sejak tahun 1998 dan kadar caj tempat letak kereta yang dikenakan adalah 40 sen untuk tempoh sejam.

    Berhubung kenaikan caj letak kereta sejam, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ingin menyatakan bahawa cadangan kenaikan ini telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan yang turut dihadiri bersama Ahli-Ahli Majlis pada 22hb. Mei 2013. Hasil perbincangan mesyuarat telah bersetuju supaya kadar caj tempat letak kereta sejam dinaikkan sebanyak 20 sen iaitu daripada kadar lama 40 sen kepada 60 sen sejam.

    Cadangan menaikkan kadar caj tempat letak kereta dari 40 sen sejam kepada 60 sen sejam adalah diasaskan kepada kos penyelenggaraan tempat letak kereta yang terpaksa ditanggung oleh MBSA seperti kerja-kerja penurapan semula tempat letak kereta, kerja-kerja mengecat petak tempat letak kereta, kerja-kerja pembersihan dan sapuan tempat letak kereta dan kerja-kerja pembaikan lampu di tempat letak kereta yang terpaksa dijalankan oleh MBSA bagi tujuan penyelenggaraan kawasan terlibat yang memerlukan belanja yang besar.

    Berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh MBSA dan pihak konsesi iaitu Suasa Efektif Sdn Bhd, kadar sewa yang dikenakan ialah RM 15.28 sebulan. Sehingga Jun 2013 sebanyak 16,449 petak telah diserah urus kepada Suasa Efektif  Sdn Bhd dengan kutipan sewaan sebanyak RM 251,340.72. Dengan kenaikan daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam, Suasa Efektif Sdn Bhd akan dikenakan kadar sewaan sebanyak RM22.92 sebulan dan jumlah sewa yang akan dikutip dari Suasa Efektif Sdn Bhd sebanyak RM377,011.00 sebulan. Jumlah tambahan hasil sebanyak RM125,670.28 sebulan dari kenaikan ini masih belum lagi mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan tempat letak kereta yang dinyatakan di atas.

    Usul untuk menaikkan kadar caj tempat letak kereta yang telah dibincangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan ini kemudiannya telah dibawa untuk dibincangkan dan telah diluluskan semasa Mesyuarat Penuh (Full Board) yang telah bersidang pada 29hb. Mei 2013.

    Ketetapan untuk menaikkan kadar caj tempat letak kereta ini di ambil berdasarkan kadar caj ini telah digunapakai sejak 15 tahun lalu dan dalam tempoh tersebut pihak MBSA tidak pernah menaikkan kadar caj tersebut. Kadar caj yang dikenakan ini juga amat rendah dan tidak sesuai dengan keadaan semasa dan status Shah Alam sebagai sebuah bandar raya.

    Sekiranya dibuat perbandingan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor dan juga Majlis Bandaraya lain kadar caj tempat letak kereta di kawasan MBSA antara yang terendah di kalangan PBT di Negeri Selangor dan juga Majlis Bandaraya yang lain. Berikut adalah kadar caj tempat letak kereta yang dikenakan oleh beberapa PBT di Negeri Selangor dan juga Majlis Bandaraya.

    Bil Pihak Berkuasa Tempatan Kadar Sejam (RM)
    1 Majlis Bandaraya Shah Alam 0.40
    2 Majlis Bandaraya Petaling Jaya 0.60
    3 Majlis Perbandaran Subang Jaya 0.50
    4 Majlis Perbandaran Klang 0.50
    5 Majlis Perbandaran Selayang 0.50
    6 Majlis Perbandaran Ampang Jaya 0.50
    7 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah 0.60
    8 Majlis Bandaraya Ipoh 0.60
    9 Majlis Bandaraya Johor Baharu 0.60

    Selain daripada itu,  jika dibuat perbandingan kadar caj letak kereta dengan pengurusan tempat letak kereta yang diuruskan oleh pihak swasta di tempat letak kereta awam dan kompleks membeli-belah, kadar caj yang  diguna pakai oleh MBSA masih lagi dianggap rendah kerana hasil pemantauan MBSA kadar caj tempat letak kereta sejam yang diuruskan oleh pihak swasta adalah di antara RM1.00 – RM2.50. Berikut adalah perbandingan kadar caj tempat letak yang diuruskan oleh pihak swasta.

    Bil Lokasi Kadar Sejam (RM)
    1 Hotel Bluewave 1 jam pertama RM4.00

    Jam berikutnya RM3.00 sejam

    2 Kompleks PKNS 1 jam pertama RM1.50

    Jam berikutnya RM1.00 sejam

    3 SACC Mall 1 jam pertama RM1.50

    Jam berikutnya RM1.00 sejam

    4 Plaza Alam Sentral 1 jam pertama RM1.00

    Jam berikutnya RM1.00 sejam

    5 Plaza Perangsang 1 jam pertama RM 2.50

    Jam berikutnya RM1.50sejam

    6 Tempat Letak Kereta Awam Bersebelahan Maybank, Seksyen

    14

    RM2.50 sekali masuk
    7 Tempat Letak Kereta Awam Bersebelahan Wisma PKPS RM2.00 sekali masuk

Lampiran

Tiada Lampiran.