Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

264) KENAIKAN TARIF AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bila dan berapakah kadar kenaikan tarif air yang sepatutnya dilaksanakan berdasarkan perjanjian dengan syarikat konsesi bekalan air?

    Perjanjian Konsesi Penswastaan pembekalan air terawat di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Selangor dan SYABAS pada 15 Disember 2004. Antara terma perjanjian yang dipersetujui adalah berhubung pelarasan kadar tarif air terawat oleh SYABAS yang perlu di semak dan mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Perjanjian Konsesi telah menjadualkan pelarasan tarif sepanjang tempoh Perjanjian

    Konsesi SYABAS berkuat kuasa seperti berikut:-

    Pelarasan Tarif Tarikh Pelarasan Tarif Average Schedule Tariff (RM/mᵌ)
    Pelarasan Pertama 01 Januari 2006 1.39
    Pelarasan Kedua 01 Januari 2009 1.90
    Pelarasan Ketiga 01 Januari 2012 2.38
    Pelarasan Keempat 01 Januari 2015 2.86
    Pelarasan Kelima 01 Januari 2018 3.15
    Pelarasan Keenam 01 Januari 2021 3.31
    Pelarasan Ketujuh 01 Januari 2024 3.48
    Pelarasan Kelapan 01 Januari 2027 3.65
    Pelarasan Kesembilan 01 Januari 2030 3.83

    Dalam usaha untuk melindungi rakyat sebagai pengguna utama industri perkhidmatan air, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk tidak bersetuju dengan sebarang pelarasan tarif yang dipohon oleh SYABAS. Pelarasan Tarif purata air terawat pertama telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006 dan berkuat kuasa mulai 1 November 2006 di mana kadar tarif purata RM1.39 per cubic meter yang diguna pakai sehingga hari ini adalah berdasarkan kepada kadar yang diluluskan pada tahun 2006. Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor  bersetuju dengan pelarsan tarif yang dipohon oleh SYABAS pada tahun 2012, kadar tarif yang akan dibayar oleh pengguna pada ketika ini adalah sebanyak RM2.38 per cubic meter.

    Namun Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor di mana kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air, telah tidak bersetuju untuk menguatkuasakan sebarang pelarasan tarif.  Malahan bagi permohonan pelarasan bagi tahun 2015 juga telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk ditangguhkan sehingga penstrukturan semula industri perkhidmatan air dimuktamadkan.

    Lanjutan dari tiada sebarang kenaikan tarif seperti yang dijadualkan pada tahun 2009, SYABAS telah memulakan tindakan mahkamah bagi menuntut pampasan kerana ketiadaan kenaikan kadar tarif baru. Kes tersebut masih dalam tindakan mahkamah dan belum ada sebarang keputusan ke atas tuntutan SYABAS tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.