Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

2) KENAIKAN TARIF AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan tarif air dalam masa 5 tahun memandangkan rakyat Selangor menghadapi masalah bekalan air?

    Pada masa ini, Perjanjian Konsesi SYABAS masih berkuat kuasa dan memperuntukkan kadar kenaikan tarif setiap tiga tahun sekali seperti berikut:-

    Pelarasan Tarif Tarikh Pelarasan Tarif Average             Schedule Tariff (RM/mᵌ)
    Pelarasan Pertama 01 Januari 2006 1.39
    Pelarasan Kedua 01 Januari 2009 1.90
    Pelarasan Ketiga 01 Januari 2012 2.38
    Pelarasan Keempat 01 Januari 2015 2.86
    Pelarasan Kelima 01 Januari 2018 3.15
    Pelarasan Keenam 01 Januari 2021 3.31
    Pelarasan Ketujuh 01 Januari 2024 3.48
    Pelarasan Kelapan 01 Januari 2027 3.65
    Pelarasan Kesembilan 01 Januari 2030 3.83

    Pelarasan Tarif purata air terawat pertama telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006 dan berkuat kuasa mulai 1 November 2006 di mana kadar tarif yang diguna pakai sehingga hari ini adalah berdasarkan kepada kadar yang diluluskan pada tahun 2006 tersebut.

    Pelarasan tarif kedua  yang sepatutnya berkuatkuasa bermula pada 01 Januari 2009 hingga  31 December 2011, namun Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor di mana kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air, maka Kerajaan Negeri tidak bersetuju untuk menguatkuasakan sebarang pelarasan tarif.

    Lanjutan dari tiada sebarang kenaikan tarif seperti yang dijadualkan pada tahun 2009, SYABAS telah memulakan tindakan mahkamah bagi menuntut pampasan kerana ketiadaan kenaikan kadar tarif baru. Kes tersebut masih dalam tindakan mahkamah dan belum ada sebarang keputusan ke atas tuntutan SYABAS tersebut.

    Namun sekiranya Perjanjian Konsesi SYABAS ini masih dikuatkuasakan dan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor tidak dimuktamadkan menurut Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka Kerajaan Negeri tidak mempunyai kawalan secara langsung ke atas pelarasan tarif oleh SYABAS.  Apatah lagi, di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS memang telah diperuntukkan mengenai kenaikan tarif setiap tiga tahun sekali.  Dijangkakan mengikut peruntukkan di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS, untuk tempoh lima tahun lagi, terdapat dua kali lagi kenaikan yang boleh dituntut oleh SYABAS, iaiatu pada tahun 2015 dengan kadar tarif purata sebanyak  RM2.86 setiap meter padu dan pada tahun 2018 dengan kadar tarif purata sebanyak RM3.15 setiap meter padu. Sekiranya perjanjian konsesi SYABAS ini diteruskan, pada tahun

    2030 kadar tarif purata yang bakal dibayar oleh pengguna Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak RM3.83 setip meter padu.

    SYABAS adalah sebuah syarikat swasta, di mana keuntungan masih merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan. Manakala bagi Kerajaan Negeri Selangor,  keuntungan bukanlah matlamat utama di dalam industri perkhidmatan air sebaliknya penetapan kadar tarif yang munasabah di samping menyediakan perkhidmatan pembekalan air yang efisien adalah menjadi  matlamat utama.  Dalam mencapai hasrat untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor, kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air.

    Oleh sebab terdapat jurang perbezaan di dalam matlamat SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memberikan perkhidmatan bekalan air, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor. Melalui penstrukturan semula ini, operator perkhidmatan air yang baru dapat diujudkan di mana operator air tersebut adalah terdiri dari syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Dalam melaksanakan penyusunan semula perkhidmatan air di Negeri Selangor,

    Kerajaan Negeri telah mengambil kira aspek-aspek berikut:-

    • Menjurus kepada penamatan perjanjian-perjanjian konsesi air sedia ada yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan pemegang konsesi;
    • Meneliti dan menstrukturkan semula kos-kos operasi terutamanya pembelian air terawat yang pada masa ini amat membebankan;
    • Mengenakan tarif air pada kadar yang munasabah dan berasaskan prestasi dan pencapaian KPI syarikat pengendali perkhidmatan;
    • Memastikan struktur baru yang diwujudkan mengutamakan peningkatan tahap kecekapan    dan     keberkesanan          perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya; dan
    • Melibatkan PAAB di peringkat awal dalam proses pengambilalihan dan penyusunan semula ini.

    Melalui Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan bahawa SPV yang bakal diwujudkan di bawah Model dipantau sepenuhnya bagi memastikan SPV ini beroperasi dengan mementingkan kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan.  Sebagai SPV yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa penuh untuk memantau agar SPV ini akan mendapat one time profit, yang mana keuntungan yang akan dijana adalah tidak melampaui. Dengan keuntungan yang tidak melampaui, SPV akan dapat mengekalkan kadar tarif yang munasabah.  Kenaikan tarif di dalam operasi memang tidak dapat dihalang berikutan dengan kenaikan kos bahan mentah dan kos operasi, namun kenaikan tarif tersebut akan dipastikan munasabah.

    Selain dari itu, SPV yang beroperasi secara holistik ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing) dan ini dapat memastikan kos operasi yang tidak membebankan kerana setiap kos yang dibelanjakan oleh SPV akan dipantau secara langsung melalui kuatkuasa Akta Industri Perkhidmatan Air, 2006 (Akta 655).  Syarikat SPV tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi. Ini dapat memastikan kadar tarif munasabah dapat dicapai.

    Melalui peranan yang diambil oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),   SPV tidak di beban dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh PAAB.  Dengan kaedah ini, kos pembangunan tidak akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan tarif.

    Di bawah rejim pelesenan, SPAN melalui peruntukkan di bawah Akta 655 boleh mengesyorkan kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan aras kadar yang hendak dicajkan bagi perkhidmatan air  termasuk kadar air pukal dan kadar tarif air.

    Sebagai sebuah syarikat SPV yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri.  Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.

    Justeru itu, dengan pelaksanaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air, rakyat Negeri Selangor tidak lagi dibebankan dengan kenaikan tarif air yang melampau.  Sebaliknya melalui syarikat yang dimiliki dan dikawal secara langsung oleh Kerajaan  Negeri Selangor, segala sumber yang diperoleh akan digunakan untuk memastikan rakyat  membayar kadar air yang munasabah dan terus menikmati inisiatif pemberian 20m3 air percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.