Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

114) KEPERLUAN MENINGKATKAN LAGI PERKHIDMATAN BAS SMARTSELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan bercadang untuk menambahkan lagi perkhidmatannya memandangkan masih terdapat keperluan terdesak seperti di jalan Hulu Langat ke Ampang, melalui Jalan Bukit Ampang, yang pada masa ini tiada sebarang perkhidmatan bas di jalan itu?

    Sambutan terhadap perkhidmatan Bas Smart Selangor yang sangat memberangsangkan telah memberikan isyarat yang positif kepada Kerajaan Negeri untuk sentiasa menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada penambahbaikan perkhidmatan Bas Smart Selangor seperti pertambahan jumlah bas dan tambahan laluan-laluan baru yang menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

    Bagi laluan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat, semakan Kerajaan Negeri kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesahkan bahawa tiada perkhidmatan bas pada masa ini dan perkara ini adalah disebabkan oleh faktor keadaan jalan yang berbukit dan kawasan yang curam tidak sesuai untuk laluan harian bas. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat permintaan, maka Pihak Berkuasa Tempatan bersama SPAD perlu terlebih dahulu menjalankan kajian keperluan dan permintaan serta mengkaji kesesuaian laluan bagi operasi di kawasan ini demi keselamatan pengguna.

    Kerajaan Negeri juga ingin mengulangi pendirian bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyediakan dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Negeri Selangor.

    Tidak dapat dinafikan, memang terdapat permintaan untuk menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai akses pengangkutan awam ke pusat bandar termasuk di Jalan Hulu Langat ke Ampang, melalui Jalan Bukit Ampang namun ianya turut bergantung kepada faktor- faktor tertentu seperti kesesuaian, keselamatan, peruntukan kewangan dan sebagainya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.