Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

103) KEPIMPINAN BELIA

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha pembangunan kapisiti (capacity Building) dikalangan Belia di Selangor dari 2013 sehingga kini?

    (Soalan a,b dan c dijawab bersekali)

    Kerajaan Negeri menitikberatkan aspek pembangunan di kalangan belia sebagai pemaju pembangunan negara pada masa akan datang. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah melantik seramai 288 orang Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang terdiri daripada golongan belia sebagai agen penggerak belia Negeri Selangor. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1,396,800.00 setahun bagi peruntukan elaun dan sebanyak RM1,440,000.00 untuk peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Berikutan pelaksanaan program-program tersebut akan dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mendekati masyarakat serta mendengar keluahan dan kehendak masyarakat sejajar dengan tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin.

    Dalam usaha ke arah pembangunan kapasiti di kalangan PeBT, Kerajaan Negeri telah melaksanakan kursus kepimpinan untuk melahirkan pemimpin generasi muda yang cemerlang supaya dapat menguruskan organisasi dengan lebih berkompetensi dan berkualiti serta mempunyai sifat keprihatinan dan peka kepada isu masyarakat dan sosial serta dapat membentuk di dalam kalangan generasi muda yang mempunyai persiapan untuk berkhidmat dan membantu masyarakat. Seramai 500 orang peserta termasuk PeBT yang terlibat di dalam Kursus tersebut dengan peruntukan sebanyak RM78,140.00.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut mengadakan Program Bengkel Pemberdayaan NGO Belia Negeri Selangor 2017 dengan peruntukan sebanyak RM77,450.00. Melalui program ini, seramai 50 orang NGO telah diberi pendedahan sebagai penyandang jawatan utama dalam Persatuan NGO Belia untuk menguruskan persatuan atau kelab dengan lebih efisyen dan berkesan dari segi matlamat, organisasi dan pengurusan yang efektif.

    Seterusnya pada tahun 2015, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Program ADUN Muda Selangor yang melibatkan seramai 50 orang belia daripada IPTA dan IPTS dengan peruntukan sebanyak RM50,000.00. Program ini bertujuan untuk membentuk peribadi dan jati diri anak muda dengan memberi pendedahan kepada isu-isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Selain itu, program ini dapat menggalakkan pemikiran kritis di kalangan anak muda tentang polisi-polisi kerajaan serta menyemai kesedaran dalam diri anak muda bahawa proses menggubal undang-undang dan membuat keputusan turut melibatkan masyarakat.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga amat prihatin dan menyedari akan kepentingan pendidikan kepada golongan belia khususnya di Selangor. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) yang telah bermula pada 7 Mac 2014 di mana program ini adalah terbuka kepada semua kaum di kalangan belia yang terdiri daripada Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) , PeBT Zon dan NGO-NGO terpilih. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (IPSAS,UPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan belia. Melalui program ini, Kerajaan Negeri telah memberi tajaan sebanyak RM9,400.00 kepada 23 orang pelajar dengan jumlah tajaan sebanyak RM216,200.00 yang telah berjaya menamatkan pengajian dan menghadiri majlis graduasi yang telah diadakan pada 6 November 2018 oleh pihak UPM.

Lampiran

Tiada Lampiran.