KEPUPUSAN KELIP-KELIP

31) KEPUPUSAN KELIP-KELIP

Tahun:

Sesi:

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Merujuk Laporan Ketua Audit Negara Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2008, muka surat 56: ÒPada pendapat Audit, aktiviti ekonomi pertanian telah mengakibatkan alam sekitar di Kampung Kuantan telah terancam dan memberi kesan kepupusan kelip-kelip di kawasan iniÓ. Tidak terdapat ulasan daripada Jabatan dalam Memorandum Laporan Ketua Audit Negara 2008 Selangor. Apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Jabatan untuk mengatasi masalah ini?

    Kewujudan habitat kelip-kelip di Kg. Kuantan, Kuala Selangor telah menjadikan ia satu program eko-pelancongan yang menyumbang kepada sumber ekonomi Negeri Selangor dan seterusnya komuniti setempat. Serangga kelip-kelip ini juga berfungsi sebagai bioindikator kepada status kualiti air Sungai Selangor. Sehubungan itu, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh pihak LUAS dalam memastikan perlindungan dan pemuliharaan kelip-kelip seperti berikut:

    1. Pihak LUAS dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri telah mewartakan kawasan Zon Perlindungan melalui ‘Pemberitahuan Zon Perlindungan (Kawasan Yang Diisytiharkan Dan Sekatan) 2009’ yang telah diwartakan dalam Warta No. 2171/2009 berkuat kuasa mulai 2 Julai 2009 di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Ini adalah selaras dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Selangor (Pelan IRBM Sungai Selangor,2007-2012) yang mana ia menepati ‘Polisi 4 : Pemuliharaan Kelip-kelip’. Keluasan kawasan zon perlindungan ialah 1,104 hektar (2,728 ekar) yang merangkumi ‘kawasan rizab sungai di antara 150 meter sehingga 400 meter kiri dan kanan tebing Sungai Selangor di dalam Mukim Pasangan, Daerah Kuala Selangor seperti dalam Peta No. P.W.1539.
    2.  Tujuan Zon Perlindungan diwujudkan ialah sebagai langkah pengawalan dan pencegahan untuk melindungi kawasan rizab sungai, zon penampan dan alam sekitarnya termasuklah habitat kelip-kelip di dalam kawasan tersebut daripada diterokai, dimusnahkan dan juga mencemarkan sumber air. Di samping itu, pihak LUAS juga mengambil inisiatif dengan pemasangan papan tanda pemberitahuan ‘Zon Perlindungan’ di beberapa lokasi strategik seperti di Jeti Kg. Kuantan dan Kg. Bukit Belimbing dalam usaha pemakluman kepada penduduk sekitar dan juga para pelancong akan usaha Kerajaan Negeri Selangor memelihara dan memulihara kawasan habitat kelip-kelip.
    3. Pihak LUAS melalui Seksyen 43(1) Enakmen LUAS 1999, telah memperuntukkan bahawa tiada sebarang ‘aktiviti pengubahan sumber’ yang boleh dijalankan di dalam Zon Perlindungan melainkan setelah memperolehi Kebenaran Bertulis daripada Pengarah LUAS. Aktivitiaktiviti yang dimaksudkan ialah yang memberi kesan dari segi kuantiti dan kualiti air serta degradasi alam sekitar seperti aktiviti peletakan atau pembinaan mana-mana struktur atau pelaksanaan apa-apa kerja-kerja, penggunaan atau penyimpanan apa-apa bahan kimia termasuklah racun makhluk perosak atau baja, perubahan kontur tanah yang sedia ada termasuk mana-mana penggredan dan pembinaan jalan raya, pembersihan atau penuaian sayuran termasuk penebangan pokok, pembuangan pertumbuhan riparian atau penyaliran tanah perairan, dan pembuangan apa-apa kumbah atau bahan buangan.
    4. Di samping itu, pihak LUAS bertindak sebagai urus setia bagi ‘Kumpulan Kerja Polisi 4 : Pemuliharaan Kelip-kelip (Pelan IRBM Sungai Selangor)’ bagi memantau pelaksanaan tiga (3) strategi yang telah digariskan di bawah polisi tersebut. Antara agensi-agensi yang menganggotai kumpulan kerja tersebut ialah UPEN, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor (PTDKS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Institut Penyelidikan dan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Tourism Selangor Sdn. Bhd (TTSB). Pihak LUAS juga menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi teknikal berkaitan serta perbincangan bersama pihak NGO dalam usaha memastikan perlindungan dan pemuliharaan kawasan habitat kelip-kelip. Beberapa siri taklimat telah diadakan bersama Penghulu, Ketua Kampung dan penduduk sekitar bagi memaklumkan berkenaan pewartaan ‘zon perlindungan’ dan mendapatkan kerjasama penduduk kampung.
    5. Pihak LUAS juga menjalankan pemantauan secara telemetri ‘on-line’ dengan menggunakan stesen pemantauan kadar alir jenis ‘Doppler’ di barrage Bestari Jaya bagi memastikan pelepasan kuantiti air ke hilir sungai untuk hidupan kelip-kelip termasuk flora dan fauna ialah 300 JLH (3.5 m3/s) selari dengan pematuhan keperluan dalam DEIA Empangan Sungai Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.